ARTIKEL SEBELUM

26/07/15

Ada sebab Rafizi, Tony Pua dilarang keluar negara

PETALING JAYA - Tindakan kerajaan melarang dua ahli politik pembangkang, Rafizi Ramli dan Tony Pua ke luar negara ‎demi sebab- sebab tertentu.

Menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu langkah tepat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ia dibuat demi keselamatan negara dan rakyat.

"Ada sebab kerajaan ambil tindakan. Tindakan undang-undang akan diambil kepada sesiapa sahaja yang mencetuskan kekecohan dalam negara.

"...seperti rakyat, saya juga mahu tahu apa yang berlaku.‎ Tetapi kita kena serahkan pada pihak-pihak berkuasa untuk menyiasat," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka sempena Aidilfitri di kediamannya di sini, semalam. ‎

Baru-baru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan larangan ke luar negara kepada ahli PKR, Rafizi Ramli dan ahli DAP, Tony Pua susulan pendedahan terhadap syarikat pembangunan strategik, 1Malaysian Development Berhad (1MDB) yang dilakukan oleh mereka.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, kerajaan sudah meminta jawatankuasa seperti Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Kira-kira Wang Negara (PAC), Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat isu yang membelenggu 1MDB ketika ini.

"Kita kena benarkan pihak-pihak ini jalankan tanggungjawab mereka dan kita perlu percaya hasil siasatan yang dikeluarkan oleh mereka.

"Kalau rakyat sendiri tidak percayakan jawatankuasa ini, jadi, dengan siapa rakyat nak percaya. Saya harap rakyat bersabar menunggu hasil siasatan kesemua jawatankuasa ini," katanya lagi.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud