ARTIKEL SEBELUM

7/06/15

Idea parti baharu ditolak kerana trauma pengalaman lama PAS

Walaupun cadangan bertalu-talu agar kumpulan profesional yang disingkirkan daripada PAS dalam pemilihan pada muktamar minggu ini menubuhkan parti baharu dan menyertai Pakatan Rakyat (PR), kebanyakan menolaknya kerana trauma dengan kehancuran semua parti serpihan yang pernah ditubuhkan sebelum ini.

Pakar sejarah Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata beliau juga tidak bersetuju dengan idea itu dan mahu mereka terus kekal dalam parti.

"Reaksi awal saya, jangan keluar parti atau menubuhkan parti baharu," katanya kepada The Malaysian Insider mengulas hala tuju kumpulan progresif dalam PAS ini.

Beliau berkata, apa yang perlu mereka buat ialah pulang dan beri tumpuan terhadap kawasan masing-masing dan berada bersama dengan masyarakat di sana.

"Biar mereka yang dipilih pusing satu negara setiap malam seperti yang pernah orang seperti Mat Sabu (bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu) lakukan dua dekad yang lalu.

"Jadikan kekalahan ini hikmah untuk masa bersama kawasan dan keluarga," kata bekas pengarah Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) itu.

Redzuan berkata, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum menubuhkan sebuah parti baharu.

"Ikon, tenaga dan wang. Rasanya tokoh yang ada tidak cukup. Lagipun mereka ini sudah penat," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad juga bersetuju dengan pandangan Redzuan dengan berkata, beliau tidak akan mengganggu pucuk pimpinan baharu yang terpilih sekarang.

"Kita bagi peluang kepada mereka tentukan hala tuju parti dan saya tidak akan mengganggu mereka," katanya kepada The Malaysian Insider.

Khalid turut ditewaskan bersama rakan-rakannya dalam pemilihan kali ini.

Pelbagai pihak mencadangkan mereka yang ditewaskan secara kumpulan dalam pemilihan PAS itu mengambil jejak langkah Reccip Toyyeb Erdogan yang menubuhkan parti baharu iaitu AKP, dan berpisah daripada rakannya dalam parti Refah yang membentuk parti Saadet.

Kini AKP sudah 3 penggal memerintah Turki manakala Saadet hilang daripada Parlimen Turki selepas mendapat undi tidak sampai 10%.

Mereka yang membuat cadangan itu termasuk bekas Penolong Setiausaha Agung PAS Profesor Dr Abdul Latif Ibrahim yang menyarankan sebuah parti baharu dibentuk bersama dengan profesional Islam dan aktivis badan bukan kerajaan yang lain serta bersama dalam PR.

Bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof berkata, beliau boleh mempertimbangkan cadangan sebegitu, namun perlu pihak lain yang mengambil inisiatifnya.

"Jika kami yang buat inisiatifnya, ia akan dianggap tindakan 'desperado' selepas ditewaskan," katanya kepada The Malaysia Insider.

Namun, cadangan ini menjadi trauma kepada pemimpin PAS yang tewas kerana sepanjang sejarah perjuangan parti Islam itu, mereka yang menubuhkan parti serpihan akan hilang daripada persada politik begitu saja termasuk dengan partinya sekali.

Ia termasuk kumpulan seperti Hamim, Berjasa dan Islah.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud