KUALA SELANGOR - "Sikap DAP, terpulang kepada mereka. Itu (ketidakhadiran DAP) kena tanya DAP, jangan tanya saya," tegas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan DAP yang tidak hadir ke Muktamar Tahunan Pas ke-61 yang berlangsung di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya sudah menjemput semua pihak termasuk DAP untuk menghadiri Muktamar.
"Kita sudah jemput semua pihak untuk hadir untuk memeriahkan muktamar kita pada kali ini.
"Semua yang kami jemput,hadir..PKR hadir, pemerhati hadir dan NGO juga hadir," katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang media selepas selesai menyampaikan ucapan dasarnya, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menjawab teguran Timbalan Ketua Muslimat Pas Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud menegur Abdul Hadi dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
"Hal-hal peribadi perlu diselesaikan secara peribadi," bidas Abdul Hadi lagi.
Siti Mariah ketika menjawab perbahasan usul kedua yang dibentangkan di Muktamar Tahunan kali ke-55 Dewan Muslimat Pas Pusat, di Shah Alam semalam berkata, kedua-dua pihak harus mengetepikan ego masing-masing dalam usaha menjernihkan hubungan dalam PR.
Siti Mariah juga berpendapat, kedua-dua pemimpin itu harus mengambil pendekatan dengan duduk semeja bagi mencari jalan penyelesaian bersama.
Menurutnya lagi, Abdul Hadi dan Kit Siang telah melakukan kesilapan yang besar melalui kenyataan-kenyataan yang dibuat mereka di media.