KUALA LUMPUR – Anak sulung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah Anwar memberitahu bapanya yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun sejak Februari lalu semakin kurus ketika ditemui di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Naib Presiden PKR itu berkata, meskipun berdepan masalah kesihatan, bapanya itu tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan.
“Beliau sudah kurus...kurus sangat-sangat. Sedang cuba nak tambah berat badan kerana agak bimbang dengan keadaan kesihatan tapi Insya-ALLAH semangatnya membara. Bukan mudah (untuk ambah berat badan kembali) sebab faktor usia beliau.
“Kehidupan di penjara, bukannya dilayan istimewa, kami bertemu pun sekali dalam tiga minggu sekarang ini. Kena lihat dari sudut ini kali keempat beliau ditahan, makanan penjara yang diberi mengikut kuota sudah tentu ia bukan sesuatu yang mudah. Kami juga akan terus perjuangkan ‘medical needs’ beliau,” katanya kepada Sinar Online ketika ditemui, hari ini.
Ketika ditanya antara butir bicara Anwar dalam pertemuan semalam, Nurul Izzah berkata, Anwar sempat melahirkan kesyukuran atas kemenangan PKR di Permatang Pauh, baru-baru ini dan menganggap kemenangan itu sebagai hadiah untuknya.
“Semalam (beliau cakap) lebih kepada isu kemenangan di Permatang Pauh. Beliau amat bersyukur dengan kemenangan itu. Kemenangan itu dianggap sebagai hadiah buat beliau,” katanya.
Anwar muncul di Mahkamah Tinggi semalam bagi perbicaraan kes sama fitnah RM60 juta terhadap Datuk S Nallakaruppan selepas hampir tujuh tahun ia difailkan.