ARTIKEL SEBELUM

25/04/15

Umno ‘bungkus’, BN ‘jalan’ jika Najib bubar Parlimen

Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya akan menerima padah jika bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed untuk membubarkan Parlimen lebih awal, kata Datuk Ibrahim Ali.

Presiden Perkasa itu berkata, jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersetuju mengadakan pilihan raya umum (PRU) lebih awal, sudah pasti Umno dan BN akan mengalami kekalahan dengan pelbagai masalah yang sedang melanda rakyat.

“Tidak salah untuk Najib bubar Dewan Rakyat. Pada saya, kalau bubar sekarang, Umno ‘bungkus’, BN ‘jalan’.

“Sebab, dengan isu yang sedang berlegar sekarang, membabitkan apa yang dibangkitkan Tun Dr Mahathir Mohamad, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu siapa arah bunuh Altantuya Shaariibuu yang belum terjawab. Paling parah sekali, cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Kalau pilihan raya sekarang, lebih baik Umno dan BN serah kuasa kepada Pakatan Rakyat (PR). Banyak keadaan kena pulih dahulu,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Jazlan pada Rabu berkata Najib boleh membersihkan tanggapan negatif terhadap diri, keluarga dan pentadbirannya dengan mengadakan PRU lebih awal bagi mendapatkan mandat baru melalui pembubaran Parlimen.

Ibrahim berkata kenyataan Jazlan itu menimbulkan persoalan kerana adakah pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) itu sememangnya mahu melihat Umno terkubur dalam PRU akan datang.

“Kalau serah pada rakyat, rakyat sokong balik parti pemerintah, tidak ada masalah. Adakah Jazlan nak supaya keputusannya di sebalik itu?

“Saya tidak tahu apa niat Jazlan buat kenyataan ini. Saya persoalkan. Adakah dia nampak ini jalan penyelesaian atau dia hendak tengok BN jalan?” soalnya.

Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, analogi dunia politik bolehlah disamakan seperti kesihatan yang memerlukan pemerhatian rapi sebelum apa-apa keputusan boleh dibuat.

Katanya, PRU awal tidak semestinya penyelesaian terbaik kepada BN buat masa ini, kerana pelbagai masalah yang melanda kerajaan kini perlu diselesaikan dahulu.

“Analogi politik sama juga dengan kesihatan. Kita tengok parti pemerintah sakit, Jazlan kata terus buat pembedahan maknanya pilihan raya. Bedah boleh jadi mati atau hidup.

“Bagi saya, walaupun sakit tetapi masa ada lagi, bolehlah berubat dengan makan ubat, pembedahan kecil, lebihkan dos ubat, cari bomoh kampung atau tukang urut.

“Mana tahu boleh segar balik tanpa bedah. Itu beza saya dengan Jazlan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim menegur Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menggunakan analogi munafik dalam isu mendapat sokongan ahli Parlimen Umno terhadap rang undang-undang persendirian dibawa PAS.

Katanya, Hadi sebagai ulama sepatutnya mengeluarkan perkataan yang lebih sedap didengar dan meyakinkan ahli Parlimen Umno untuk menyokong hudud.

“Dia hendak sokongan Umno, bila dia buat kenyataan, janganlah kenyataan itu menyakitkan hati orang.

“Tidak boleh bercakap macam itu walaupun seorang ulama. Kenyataan itu boleh disalah ertikan seolah-olah dia menuduh Umno munafik. Tidak sedaplah. Kalau hendak sokongan orang, kita jangan persoalkan.

“Saya yang disebut ‘gedebe’ pun tidak bercakap macam tu. Tetapi orang yang berserban, berpenampilan ulama, orang tidak nampak ‘gedebe’ sebab dia berlindung di sebalik serban,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Hadi menerusi forum yang dianjurkan Sinar Harian pada Rabu berkata sokongan ahli Parlimen Umno terhadap pelaksanaan hukum hudud, hanya Allah sahaja yang tahu.

Katanya, Islam mengajar umatnya supaya menerima dengan bersangka baik segala ucapan yang dizahirkan walaupun ia daripada orang munafik dengan harapan golongan itu akan bertaubat.

"Umno kata hendak sokong hudud - dalam Islam kita diajar menerima ucapan zahir daripada sesiapa sahaja termasuklah mereka yang munafik sekali pun.

"Jadi, dengan cara ini yang munafik pun akhirnya bertaubat," katanya.

Hadi akan meneruskan usahanya bagi membentangkan rang undang-undang persendirian meminda Akta 355 pada sidang Dewan Rakyat yang akan datang bagi membolehkan Kelantan melaksanakan enakmen syariah negeri itu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada bulan lalu meluluskan pindaan Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 yang mendapat sokongan sebulat suara ahli Dewan Undangan Negeri yang hadir, termasuk dari Umno.- TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud