ARTIKEL SEBELUM

18/04/15

Mukhriz ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa




ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak perlu diberi tekanan dan paksaan untuk menyatakan pendiriannya berhubung isu sokongan Umno Kedah kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, situasi Mukhriz ketika ini diibaratkan seperti 'ditelan mati emak, diluah mati bapa', menjadikan beliau amat sukar untuk menyatakan pendiriannya.

"Bila kritikan datang daripada bapanya sendiri (Tun Dr Mahathir Mohamad), suatu yang bukan mudah untuk diuruskan, ibaratkan kalau kita dalam keadaan terdesak, antara parti dengan bapa, pucuk pimpinan dengan ayahanda.

"Saya tidak rasa dengan memaksanya akan menjadikan keadaan lebih baik, malahan sebaliknya, saya yakin dia mempunyai kebijaksanaan dalam membuat keputusan," kata Weea kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Zon Utara hari ini.

Wee yang juga Timbalan Presiden MCA berkata, apa yang berlaku pada Umno Kedah ketika ini bukan krisis kepimpinan, memandangkan Mukhriz sebagai pemimpin BN negeri sudah semestinya akan akur dengan kepimpinan pusat.

"Kepimpinan yang amat berhormat PM memang telah diberi sokongan kuat oleh semua pihak, dan saya juga lihat sokongan demi sokongan yang datang, jadi saya tidak lihat ia sebagai satu krisis kepimpinan," katanya.

Bagaimanapun katanya, ramai yang hendak tahu apa pendirian menteri besar.

Wee yang melihat Mukhriz sebagai mempunyai kebijaksanaan untuk melakukan yang terbaik, yakin apa jua keputusan beliau buat adalah demi melindungi parti yang dicintainya iaitu Umno dan BN.

Baru-baru ini, Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin meminta Mukhriz yang juga Pengerusi Umno Kedah meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar sekiranya gagal menyokong kepimpinan perdana menteri.

Mukhriz sebelum ini berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi tentang pendirian UMNO Kedah terhadap kepimpinan Najib pada 24 April di Kuala Lumpur selepas bermesyuarat dengan kesemua pemimpin UMNO negeri itu. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud