BATU KURAU - Penceramah terkenal, Datuk Mohamad Kazim Elias secara terbuka memaklumkan malam ini merupakan kemunculan terakhirnya dalam program Forum Perdana Hal Ehwal Islam.
Pengumuman itu dibuat pada penghujung siaran langsung terbitan Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) itu, sebentar tadi di Padang Astaka, Batu Kurau.
Mohamad Kazim yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim hadir sebagai panel bersama Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dan dipengerusikan Prof. Dr Redhuan Tee Abdullah.
Ustaz Kazim berkata, pihaknya juga menolak sebarang kemunculan dalam mana-mana program ceramah di televisyen, melainkan dalam siri 'Kalau Dah Jodoh'.
Beliau sebelum ini dalam Ceramah Perdana Sempena Peringatan Hari Polis Ke-208 di Kem Pasukan Gerak Am (PGA) Ulu Kinta berkata, isu-isu yang dihadapinya sejak menjadi pendakwah menyebabkan beliau hilang semangat untuk terus berceramah.
Sebagai langkah awal ke arah itu, difahamkan beliau sudah mula menolak beberapa jemputan untuk menjadi tetamu beberapa program televisyen.
Buat sementara waktu ini difahamkan beliau masih terus menerima jemputan untuk mengadakan ceramah namun dikatakan akan berhenti setelah pembinaan bangunan tambahan di Pusat Pengajian Al-Barakah di Manjoi, Perak, siap.- SH