SHAH ALAM – Pas menegaskan kerjasama dengan DAP adalah melibatkan parti dengan parti dan bukannya dengan individu tertentu.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, sehubungan itu DAP tidak boleh memilih untuk memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya kerana tidak bersetuju dengan Rang Undang-undang Persendirian mengenai hudud yang akan dibentangkan di Parlimen.
“Jika ini keputusan DAP, maka ini satu tindakan kebudak-budakan seperti orang yang tidak faham politik. DAP perlu sedar bahawa kerjasama kita antara parti dengan parti, bukan orang dengan orang atau parti dengan orang.
“Jadi siapa saja yang diputuskan mewakili parti, maka DAP kena berurusan dengan mereka dan Abdul Hadi adalah salah seorang daripadanya. Tidak boleh pilih-pilih siapa yang DAP mahu kerjasama,” katanya, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha DAP, Lim Guan Eng semalam bahawa parti itu memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi kerana hilang kepercayaan kepada beliau yang telah melanggar dasar bersama PR.
Mengulas lanjut, Mustafa berkata, Pas juga tidak boleh melakukan perkara sama sekiranya tidak berpuas hati dengan pemimpin DAP.
“Misalnya, boleh ke kalau kita tak mahu terima Kit Siang (Penasihat DAP, Lim Kit Siang)? Tidak boleh kerana ini menyalahi etika politik,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai gesaan Guan Eng agar Abdul Hadi membentangkan rang undang-undang hudud sebagai ahli Parlimen dan bukan sebagai ahli PR, Mustafa berkata, Abdul Hadi sememangnya melakukan demikian.
“Beliau bentang atas kapasiti ahli Parlimen Marang, bukan atas nama parti. Sesiapa pun boleh bentang atas nama ahli parlimen yang mewakili kawasan mereka. Jadi tidak berbangkit isu itu,” katanya.