PAS kesal dengan tindakan Umno yang didakwanya berdiam diri terhadap tindakan Gerakan mencabar pindaan enakmen hudud yang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Rabu lalu.
“Rakan Umno dalam BN telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi memohon deklarasi pembatalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan.
“Apa yang dikesalkan ialah Umno masih berdiam diri dan tidak pula menegur parti rakan komponennya itu,” kata Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata tindakan itu dilihat seperti Umno merestui perbuatannya.
“Hal ini akan membuatkan sokongan yang diberikan oleh 12 orang ADUN Umno di dalam Sidang DUN Kelantan itu bersifat politik kerana Umno takut akan terus ditolak oleh rakyat Kelantan jika mereka menolak Enakmen Kanun Jenayah Syariah II tersebut,” katanya.
Sebelum ini Gerakan memfailkan saman pemula mencabar pindaan enakmen hudud yang dibentangkan di DUN Kelantan kerana menganggap sebagai bercanggah dengan perlembagaan.
Manakala pemimpin MCA, Gan Peng Sieu berkata mereka mesti memutuskan hubungan dengan Umno jika parti itu menyokong langkah Kelantan untuk melaksanakan hudud.
Bagaimanapun, minggu lalu ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor menasihati MCA dan Gerakan supaya tidak mencampuri urusan agama Islam yang menurutnya tiada kaitan dengan mereka.- mkini