SEPANG - Ibu Sirul Azhar Umar, Piah Samad malam tadi berlepas ke Australia dengan harapan untuk bertemu dengan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu yang kini dilapor ditahan di sebuah pusat Imigresen di Sydney.
Piah, 73, yang berkerusi roda ditemani anak perempuannya Noriatin Umar, 36, serta lima individu lain termasuk Ketua Penerangan Pas Datuk Mahfuz Omar.
Ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Piah dan Noriatin memilih untuk berdiam diri, sebaliknya maklumat mengenai perjalanan ke Sydney itu dinyatakan oleh Mahfuz.
Menurut Mahfuz, mereka semua akan berada di Sydney sehingga 6 Mac ini.
Katanya antara barang yang dibawa, sepasang kasut sukan bersaiz lapan yang dibuat atas permintaan Sirul Azhar sendiri.
Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah Hadri didakwa membunuh Altantuya pada 2006 dan disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.
Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dengan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.
Bagaimanapun, pada 13 Januari lepas, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.
Bagaimanapun, Sirul Azhar tidak hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu kerana berada di Australia. Susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.
Pada 16 Januari lepas, media tempatan memetik laporan akhbar Sydney Morning Herald berkenaan kerajaan Australia yang tidak akan memenuhi permohonan Malaysia untuk mendapatkan perintah ekstradisi Sirul Azhar.
Ini berikutan ia melibatkan hukuman mati dan Australia merupakan antara negara yang tidak memperuntukkan hukuman itu dalam undang-undangnya. - Bernama