ARTIKEL SEBELUM

6/02/15

Pemimpin Pakatan doakan Anwar bebas agar tiada komplikasi baharu

Pakatan Rakyat (PR) akan berdepan suasana sukar memilih ketua pembangkang yang baharu andainya Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Persekutuan 10 Februari ini.

Atas dasar itulah, masing-masing berdoa dan menaruh harapan agar Anwar terus bebas dan tidak menimbulkan komplikasi baharu dalam hubungan di antara ketiga-tiga parti itu.

"Saya harap beliau akan bebas. Jika tidak, ia bakal menghasilkan suasana yang sangat 'complicated' di kalangan PR," kata Anthony Loke, Setiausaha Organisasi DAP kepada The Malaysian Insider.


"Sebagai parti yang paling banyak mempunyai kerusi dalam Parlimen, DAP tentu rasa Lim Kit Siang paling layak untuk dilantik.

"Ini kerana dia juga yang paling berpengalaman dan pernah memegang jawatan itu.

"Tetapi sudah tentu kita boleh jangka apa pandangan PAS dan bagaimana Umno akan menyerang PR (sekiranya Lim dilantik ketua pembangkang)," kata Loke.

Bagi pensyarah sains sosial Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Abdul Latif Ibrahim, kerusi ketua pembangkang perlu dikekalkan di tangan PKR buat masa sekarang.

Ini kerana, walaupun PKR parti yang paling muda, parti itu dianggap pihak yang berada di tengah dalam PR sekarang dan layak memimpin gabungan itu sebagaimana dilakukan Anwar.

"Terpulanglah untuk pilih antara Mohamed Azmin Ali atau Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tetapi bagi saya, orang yang memegang jawatan presiden lebih baik," kata Latif.

Bagi beliau, pemimpin yang menjiwai PR layak dilantik sebagai ketua pembangkang dan ciri-ciri itu tidak ada pada presiden PAS sekarang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Sebagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat 'flip flop', presiden PAS juga dilihat begitu, dalam hubungan dengan PR.

"PKR lebih konsisten menjiwai semangat PR. Mereka boleh mainkan peranan untuk imbangkan parti-parti dalam PR, antara PAS dan DAP," katanya.

Loke berkata, Dr Wan Azizah mungkin pilihan kompromi di kalangan PR, namun "ia tidak baik untuk Anwar dan juga PKR sendiri selepas dia melepaskan kerusi Permatang Pauh sebelum ini dan bertanding di kerusi Kajang pula".

Sementara itu, pengerusi eksekutif Ilham Center Mohamad Hisomudin Bakar berkata, di kalangan PKR sendiri, mereka tidak nampak Azmin atau Dr Wan Azizah boleh memimpin PR sekarang.

"Sepatutnya selepas menjadi menteri besar, Azmin akan menonjol dalam PR, namun itu tidak berlaku.

"Azmin tidak dianggap pemimpin untuk semua dalam PKR," kata Hisomudin yang mengetuai badan pengkaji bebas itu.

Menurut kajian lapangan yang beliau buat, nama Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa lebih menonjol di kalangan akar umbi bagi mengambil alih tampuk kepimpinan pembangkang selepas Anwar.

"Ada yang berpandangan, Husam perlu diletakkan sebagai calon di Permatang Pauh untuk menggantikan Anwar sebagai ketua pembangkang," katanya walaupun sangat faham ia sesuatu yang sukar diterima PKR.

Idea menamakan Husam ini ditonjolkan di luar kerangka parti berdasarkan "faktor X" yang ada pada peribadi beliau, kata Hisomudin.

Namun, katanya, Husam perlu terlebih dahulu keluar dari krisis yang melanda PAS sekarang dan orang ramai akan melihat sejauh mana kejayaan beliau menghadapi krisis dalaman parti Islam itu.

Seorang penulis, Terence Netto, turut menyatakan idea mengetengahkan Husam, namun kewajarannya ditolak ramai tokoh PKR, bahkan PAS sendiri.

"Saya yakin bukan sahaja PKR tidak akan bersetuju kerana ini kerusi mereka, PAS juga agak sukar untuk bersetuju," kata Loke.

Selain itu, nama bekas setiausaha agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail juga disebut akan dicalonkan di kerusi Permatang Pauh sekirannya Anwar dipenjarakan selepas 10 Februari ini.

"Dalam suasana yang ada sekarang, PKR dilihat berada di tengah-tengah dan menjadi jambatan antara DAP dan PAS. Jadi, calon dari PKR saya rasa yang paling layak. Namun siapakah dia, itu jadi persoalannya," kata seorang pemimpin PKR yang tidak mahu disebutkan.

Beliau berpendapat, Saifudin boleh dipertimbangkan memandangkan beliau bertanding di kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu dalam pilihan raya umum lalu, yang terletak bersebelahan sahaja dengan Permatang Pauh.

Bagaimanapun, Saifudin ketika dihubungi, enggan memberi sebarang ulasan.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud