Pemergian Nik Aziz amat dirasai rakyat K'tan
Pemergian tokoh politik dan agamawan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pastinya sesuatu yang sangat dirasai oleh rakyat Kelantan.
Rata-rata penduduk berpendapat, keperibadian bekas menteri besar selama 23 tahun itu yang sering merendah diri, menjadi simbol yang akan diingati.
Bagi Khadijah Che Lan, 61, yang sangat berdukacita dengan kematian Nik Aziz berkata, pemergian mursyidul am PAS itu pastinya akan dirasai bukan sahaja dirinya tetapi seluruh rakyat Kelantan.
"Saya berdukacita dengan pemergian Nik Aziz. Memang saya sedih. Semua sayang dekat dia. Oleh kerana dah sampai masa dia, kita tak boleh buat apa.
"Saya tahu berita itu memang saya menangis. Dia seorang tokoh agama yang tinggi. Dia memang baik. Susah nak cari orang macam itu. Rakyat Kelantan sayang dekat dia," katanya dengan wajah sebak.
Seorang pemandu teksi, Mat Zamri Mat Zin, 58, pula berpendapat, Nik Aziz merupakan menteri besar yang paling jujur sehingga beliau sukar untuk dicari ganti.
"Memang kita berasa sedih. Menteri besar kita, menteri besar yang paling jujur sekali. Takde siapa sama dengan dia," katanya.
Bagi Ching Koh Fong, 57, dari Kok Lanas pula berkata, sebagai rakyat, dia sedih kerana Nik Aziz yang lebih dikenali sebagai Tok Guru itu banyak membantu masyarakat yang dalam kesusahan.
Katanya, sifat Nik Aziz yang suka membantu orang itu juga membuatkannya rasa sedih dengan kematian tokoh tersebut.
"Dia tolong orang banyak. Tok guru ni dia tolong kita banyak. Saya sebagai rakyat Kelantan memang amat sedih kerana kehilangan satu tokoh ikon yang selalu tolong orang.
"Dulu kalau ada apa-apa terus cari tok guru, selesai masalah," katanya.
Seorang bakal guru, Mohd Hazwan Che Mood, 24, berkata, Nik Aziz banyak menabur jasa dan memberi ilmu agama kepada rakyat sepanjang menjadi menteri besar.
Dengan sifat yang sentiasa rendah diri dan zuhud, Hazwan berkata perkara itu yang membuatkan rakyat yakin dengan kepimpinan beliau.
"Bila sebut tok guru saya ingat sifat tawaduknya, betapa sifat rendah diri dan zuhud dia terutama dalam mengguna hak rakyat. Itu yg buat kami yakin dengan kepimpinan dia," katanya.
Bagi pelajar, Farahanis Ilyas, 22, perkara yang akan sentiasa diingati olehnya tentang Nik Aziz ialah sifat rendah diri dan jasanya sebagai pemimpin yang dapat memastikan kaum wanita di negeri itu menutup aurat.
"Terasa sangat kehilangan. Apa yang saya suka dia ialah sifat dia yang zuhud dan rendah diri.
"Semasa Nik Aziz ada, perempuan dari dulu yang tidak bertudung sekarang kebanyakannya sudah bertudung. Itu antara jasa dia," katanya.
Bagi Ilyas, 61, pula jasa Nik Aziz yang sentiasa mahu menghapuskan maksiat di Kelantan adalah jasa yang sentiasa akan dikenang.
"Dia idola rakyat Kelantan dan rakyat sayangkan dia dengan tingkah laku dia.
"Jasa dia banyak. Perbankan Islam, orang perempuan disuruh tutup aurat. Hapuskan judi, arak. Susah nak cari ganti dia," katanya.