SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya tidak perlu menjawab ketika diajukan soalan mengenai kenyataan bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar bahawa dia diarah pihak atasan dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaaribuu.
Ketua Jabatan Komunikasi Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, pastinya jawapan ‘mengarut’ yang diberikan Najib mengenai isu itu boleh menimbulkan pelbagai tanggapan.
“Polemik timbul apabila cara Najib jawab seolah-olah ingin mengetepikan persoalan tersebut atau menidakkan kemungkinan tentang perkara itu.
“Secara profesional sepatutnya, Najib jawab pertanyaan itu tidak sesuai ditanya dalam konteks tersebut dan mungkin perlu dijawab dalam keadaan lain atau pada sidang media yang lebih tersusun,” katanya.
Kata Mohd Khairie, pada pandangannya, jawapan Najib ketika itu mungkin reaksi spontan disebabkan beliau tidak bersedia menjawab soalan tersebut.
“Cara Najib jawab, saya letakkan dia dalam konteks keadaan semasa majlis itu yang kurang selesa atau mungkin beliau ingin untuk meneruskan acara atau beredar.
“Walau bagaimanapun, disebabkan ini kes berprofil tinggi, sebagai penganalisis komunikasi saya lihat tidak sesuai Najib mengetepikan pertanyaan tersebut dengan cara demikian,” katanya.
Menurutnya, ini kerana Najib sendiri pernah dikaitkan dengan kes tersebut.- sh