ARTIKEL SEBELUM

21/02/15

Kalau tidak sokong Hadi, letak jawatan

Seorang perwakilan Multaqa Ulama Semalaysia II hari ini menyarankan pemimpin kanan PAS melepaskan jawatan sekiranya mereka tidak lagi menyokong dan terus mengkritik presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Wakil Dewan Ulama Perak Sidek kesal dengan tindakan tindakan seorang AJK PAS Pusat dari Perak yang didakwa cuba ‘meracun’ pemikiran ahli PAS untuk tidak menerima pelaksanaan hukum hudud. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 21 Februari, 2015.

Wakil Dewan Ulama Perak Sidek Noor (gambar) menyifatkan timbalan presiden, naib presiden dan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat tidak layak memegang jawatan tersebut kerana tindakan mereka yang selalu membelakangi Hadi.

"Mereka tidak layak memegang jawatan timbalan, naib dan AJK PAS Pusat sekiranya tidak membantu presiden, lebih baik lepaskan jawatan," katanya dalam perbahasannya di multaqa sehari itu yang diadakan di Serdang, Selangor.


Beliau juga merujuk kepada tindakan seorang AJK PAS Pusat dari Perak yang didakwa cuba “meracun” pemikiran ahli PAS untuk tidak menerima pelaksanaan hukum hudud.

"Di kala Kelantan berhempas pulas ingin melaksanakan hudud, tapi ada pula AJK PAS Pusat dari Perak ini turut ke kampung, cawangan, kata belum tiba masanya laksanakan hudud.

"Kamu pertikaikan undang-undang Islam ini, undang-undang dari Tuhan. Kalau kamu tidak yakin, apa lagi, lebih baik keluar," katanya. Beliau bagaimanapun tidak menamakan AJK yang dimaksudkan.

Beliau turut memberi contoh pemimpin kanan yang ingkar dengan arahan PAS Pusat iaitu ketika krisis Selangor berlaku.

"Ada dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang ingkar dengan keputusan PAS dan pendirian presiden, dengan menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar," katanya merujuk kepada Hasnul Baharuddin (Adun Morib)dan Saari Sungib (Adun Hulu Kelang).

Pada masa sama, beliau juga membidas kepimpinan Pakatan Rakyat yang dilihat banyak menyerang kepimpinan Hadi.

"Kalau (veteran DAP) Lim Kit Siang (yang mengatakan sesuatu), mereka tidak cakap (ia pendirian) peribadi. Namun, bila Hadi cakap, mereka kata itu kenyataan peribadi.

"Mereka kena sedar, kita pilih mereka untuk bantu Hadi. Tapi mereka tiba-tiba lawan presiden. Itu kurang ajar. Mereka tidak sedar mereka tidak layak," katanya.

Multaqa sehari anjuran Dewan Ulama PAS ini merupakan satu medan pertemuan para ulama dalam PAS bagi mengukuhkan gerak kerja kepartian dan memaksimakan tugasan ahli ilmu dalam parti Islam itu.

Seramai 14 perwakilan Dewan Ulama Negeri tampil membahaskan usul ucaptama dari Pemangku Ketua Dewan Ulama Datuk Ahmad Yaakob disusuli penggulungannya oleh Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Harun Din ‎.

Sementara itu, seorang lagi perwakilan dari Kedah, Fauzi Hussain mendakwa wujudnya pihak yang cuba menghasut ahli akar umbi untuk ingkar terhadap kepimpinan Ulama.

‎"Kepatuhan dan ketaatan kepada jemaah merupakan persoalan pokok. Adakah kita boleh pertikaikan iman di kedai kopi atau dalam Facebook?" soalnya.

Fauzi juga mempersoalkan kewajaran penubuhan PasMa di Kelantan walaupun presidennya dari Kedah, mendakwa ia seperti bertujuan melindungi pihak tertentu.

"Kita tahu siapa di belakang dia (PasMa), Jawatankuasa PAS Pusat sudah buat pendirian.

"Namun, masih ada suara sumbang yang bukan sahaja mempertikaikan Majlis Syura Ulama, namun mempertikaikan tindak tanduk presiden. Itu satu tindakan biadap," katanya.

Justeru itu, katanya, tindakan harus diambil dengan segera ke atas mereka yang cuba menggoyah kekuatan PAS.

‎"Kita mesti ada pendirian... Ibarat antara suami isteri, kalau isteri buat hal, jika suami tidak menceraikannya, maka digelar dayus," katanya.

Di akhir persidangan, multaqa itu sebulat suara meluluskan usul menggesa Majlis ‎Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengambil tindakan displin ke atas mana-mana pemimpin dan ahlinya yang terlibat dalam gerakan PasMa.

Antara lain, usul tersebut menetapkan sebarang pelanggaran terhadap Majlis Syura Ulama dan keputusan presiden merupakan satu kesalahan mandatori dalam undang-undang PAS.-TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud