keceluparan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Ismail Sabri semakin hangat apabila beliau dilaporkan enggan hadir majlis perayaan Tahun Baru Cina kerana risau dibaling objek oleh penyokong DAP.
Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyifatkan dakwaan terbaru Ismail Sabri itu adalah tidak bertanggungjawab dan satu tuduhan melulu terhadap DAP.
“Beliau dakwa dapat nasihat supaya tak pergi majlis-majlis Tahun Baru Cina di Bera kerana penyokong DAP akan baling objek kepadanya.
“Ini adalah kenyataan tidak bertanggungjawab dan ia adalah tuduhan melulu kali kedua oleh Ismail Sabri untuk beberapa minggu ini.
“Ia menimbulkan persoalan apakah beliau masih layak menjadi seorang menteri untuk sebuah negara pelbagai kaum seperti Malaysia ini,” ujar Kit Siang.
Ekoran kenyataan terbaru Ismail Sabri, DAP Kawasan Bera menafikan adanya plot untuk membaling objek kepada menteri itu di samping menyifatkan kenyataan Ismail Sabri itu adalah seperti kenyataan orang bersalah.
“Ismail Sabri sekali lagi cipta sejarah apabila menjadi menteri pertama tidak mahu tunjuk muka dalam majlis perayaan rakyat kerana kenyataan perkaumannya terhadap kaum Cina.
“Adakah dia rasa bangga menjadi menteri yang ada imaginasi akan dibaling objek, sedangkan beliau mempunyai banyak pengawal dan pengiring di tempat awam?” sindir Kit Siang.
Sambil itu, Kit Siang sekali lagi mempersoalkan kesediaan Kabinet untuk menyelesaikan isu kenyataan perkauman Ismail Sabri esok.
“Apakah mesyuarat kabinet esok akan selesaikan secara muktamad isu Ismail Sabri, atau mereka akan menghindari isu tersebut dengan ‘ponteng’ atas alasan Tahun Baru Cina?” tanya Kit Siang.
-Roketkini.com