ARTIKEL SEBELUM

24/02/15

Anwar bakal hilang kelayakan ahli parlimen

KUALA LUMPUR - Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim secara automatik akan hilang kelayakan sebagai anggota parlimen mulai esok(hari ini), berikutan parti itu tetap dengan keputusan untuk tidak memohon pengampunan Diraja bagi pembebasannya.

Perkembangan terbaharu itu memberi isyarat jelas bahawa pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh hampir pasti diadakan kerana kerusi yang disandang Anwar itu mungkin diisytiharkan "secara rasmi kosong" tidak lama lagi.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli memberitahu media hari ini bahawa PKR tidak akan memohon pengampunan Diraja bagi pembebasan Anwar, sambil menambah bahawa tiada arahan daripada ketua pembangkang itu untuk berbuat demikian.

Hari ini adalah hari terakhir bagi Anwar untuk mengemukakan permohonan bagi pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Penyandang kerusi Permatang Pauh itu mempunyai tempoh 14 hari bermula dari tarikh dia disabitkan kesalahan dan dihukum penjara kerana meliwat, untuk memfailkan petisyen bagi pengampunan tetapi setakat ini, Anwar tidak mengambil apa-apa langkah ke arah itu.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lepas, menolak rayuan Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana meliwat bekas pembantunya, Saiful Bahari Azlan pada 2008, dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum ini, berkata pihaknya hanya akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan kerusi parlimen Permatang Pauh, sebaik sahaja tempoh Anwar hilang kelayakan sebagai anggota parlimen berkuat kuasa.

Di bawah Fasal 4 Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, Anwar hilang kelayakan sebagai anggota parlimen hanya berkuat kuasa selepas 14 hari dari tarikh dia disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman, iaitu esok.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika dihubungi Bernama menyifatkan pengumuman Rafizi itu isyarat jelas kepada jentera parti untuk turun padang dan bekerja lebih keras bagi memastikan kemenangan parti berkenaan di kawasan tersebut.

Katanya ini kali keenam PKR bertanding di Permatang Pauh sejak pilihan raya umum 1999 apabila Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, memenangi kerusi tersebut, selain beberapa pilihan raya kecil bagi kerusi dewan undangan negeri di kawasan parlimen berkenaan.

"Jentera parti sentiasa bersiap sedia sepanjang masa dan kita akan mula berkampung minggu ini," katanya, yang menolak desas-desus bakal menjadi calon parti itu bagi pilihan raya kecil tersebut. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud