Kerajaan negeri Selangor dijangka menyalurkan bantuan kewangan tambahan sehingga RM5 juta lagi bagi membina semula rumah baru untuk keluarga miskin di negeri yang terjejas akibat bencana banjir, kata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.
Katanya, pihaknya akan menerima sumbangan sebanyak RM5 juta daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan perniagaan pada Jumaat ini dan beliau menjangkakan jumlah itu akan meningkat lebih banyak dalam tempoh seminggu akan datang.
"Kami berharap sumbangan ini akan dapat disalurkan bagi membangunkan semula rumah baru untuk keluarga miskin yang terjejas akibat banjir," katanya kepada pemberita di Program Malam Generasi Idaman Selangor (GeMS) Berdoa Untuk Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam, hari ini.
Katanya, setakat ini Selangor sudah menyumbang sebanyak RM1.5 juta kepada mangsa banjir - RM1 juta untuk Kelantan, RM100,000 masing-masing kepada Terengganu, Pahang dan Perak serta RM200,000 kepada Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (Pantas) yang turun padang membantu mangsa banjir.
"Walaupun kecil tapi itu menunjukkan rasa simpati kepada masalah rakyat di Terengganu, Pahang dan Perak," katanya yang turun padang ke kawasan banjir sejak minggu lalu menyampaikan sumbangan cek kepada menteri besar negeri berkenaan.
Mengulas 100 hari pentadbirannya yang genap pada 31 Disember, Azmin berharap dapat melaksanakan polisi dan program kerajaan negeri sepenuhnya.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau berpuas hati hubungan antara Pakatan Rakyat dapat dikukuhkan semula selepas pelantikannya serta barisan exco baru mampu maju ke hadapan dengan melaksanakan beberapa polisi utama negeri.
Katanya, walaupun Selangor sebelum ini mempunyai program dan polisi negeri yang baik tetapi wujud masalah apabila pelaksanaannya tidak sampai kepada rakyat dan pembayar cukai.
"Fokus kita pada tahun 2015 adalah memastikan polisi dapat dilaksanakan secara adil demi kepentingan semua rakyat di Selangor," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor ke-25 pada 23 September lalu, menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Walaupun bukan calon pilihan Pakatan Rakyat (PR), pelantikannya itu sekaligus menamatkan krisis menteri besar yang berlarutan sejak Januari lalu apabila PKR cuba menyingkirkan Khalid melalui 'Langkah Kajang'.