ARTIKEL SEBELUM

25/01/15

Pukul anak tujuan didik ada dalam hadis

SHAH ALAM - Pendakwah, Ahmad Dusuki Abd Rani menegaskan memukul anak dengan tujuan untuk mendidik ada dinyatakan dalam hadis Nabi Muhammad SAW.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pembuat undang-undang agar merujuk hadis sebelum melaksanakan sesuatu ketetapan.

“Maknanya tidak betullah adis Rasulullah sekiranya kita letakkan bahawa merotan anak itu satu perbuatan jenayah. Rasulullah ajar pada kita supaya ajarlah anak kamu solat daripada umur tujuh tahun dan pukullah jika tidak solat bila umur 10 tahun.

“Kalau kita tak merotan dalam kita mendidik ini, bagaimana lagi cara kita nak mendidik anak selain daripada yang telah diajar rasul?,” katanya kepada Sinar Online, semalam.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan bahawa merotan anak hanya dengan tujuan mendidik yang dibenarkan.

“Apa lagi yang ada dalam memberi adab dan akhlak jika hilang kuasa merotan itu dalam sistem pendidikan?

“Ia tidaklah menjadi keutamaan, namun dalam mendidik dan membina akhlak, merotan itu salah satu cara dalam membentuk akhlak kepada sifatnya kemanusiaan itu. Pihak berkuasa, bacalah hadis dalam mendidik. Jangan guna akal sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dilaporkan mengumumkan penggubalan rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 akan menyebabkan perbuatan memukul anak menjadi satu kesalahan jenayah.

Beliau akui memukul anak secara ringan untuk mengajar adalah sebahagian budaya negara ini namun ia bertentangan dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) yang telah ditandatangani.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud