ARTIKEL SEBELUM

29/01/15

MH370: Solat jenazah ghaib boleh dilakukan

KUALA LUMPUR - Solat jenazah ghaib kebiasaannya dilakukan ke atas umat Islam yang mati dalam keadaan syahid kecil disebabkan antaranya lemas dalam air, mati dalam kebakaran, dibunuh atau kemalangan dan mayat mereka tidak ditemui.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, solat berkenaan merupakan solat sunat dan membawa maksud jenazah itu tidak berada di hadapan jemaah ataupun berada di tempat yang jauh.

Beliau berkata, cara pelaksanaan solat ghaib adalah sama seperti solat jenazah biasa.

"Caranya sama dengan solat jenazah yang biasa iaitu melakukan empat kali takbir, tanpa rukuk dan sujud...cuma yang membezakannya adalah jenazah itu berada di depan kita ataupun tidak," katanya mengulas pengumuman kerajaan Malaysia hari ini berkenaan pesawat MH370 yang secara rasmi diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap telah terkorban.

Pesawat MH370 yang membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang, termasuk dua bayi itu, hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 8 Mac lepas.

Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Katanya, tertib solat sunat jenazah ghaib merangkumi empat kali takbir, berdiri membaca surah al-Fatihah, berselawat ke atas para nabi serta berdoa kepada si mati.

Mohamad Shukri berkata, syarat untuk melakukan solat ghaib adalah sama seperti solat-solat yang lain antaranya seseorang itu haruslah waras dan tidak gila.

Katanya, solat tersebut boleh dilakukan di mana-mana sahaja sama ada di masjid ataupun di rumah. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud