KUALA LUMPUR - "Ini bukan masanya untuk membangkitkan dan berbincang soal pemilihan Presiden, lambat lagi dan hanya akan berlangsung pada Jun nanti."
Demikian jawapan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub apabila persoalan itu dibangkitkan.
Tegas beliau, kini semua pihak sedang menumpukan seluruh usaha dan tenaga dalam membantu mangsa-mangsa banjir untuk meneruskan kehidupan mereka.
“Dalam parti ini, sudah menjadi satu kebiasaan bahawa jawatan itu sentiasa terbuka untuk dipertandingkan kepada ahli-ahli Pas.
“Nantilah... bila sampai masanya saya akan komen. Belum masanya untuk kita bercakap tentang ini. Kalau saya komen nanti orang kata, politik ini tidak mengenal keutamaan. Buat masa sekarang, kita nak utamakan mangsa banjir yang kehilangan harta benda dan rumah,” katanya.
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang diajukan soalan sama bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
“Itu... Pergi tanya dialah (penulis artikel).. Saya tidak ada kena mengena dengan dia,” katanya sebaik menerima asakan mengenai persoalan yang sama daripada pihak media.
Sebelum ini, bekas Exco Pemuda Pas Pusat mencadangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dicalonkan sebagai presiden pada pemilihan parti 2015-2017 yang akan berlangsung pertengahan tahun ini, sebaliknya lebih layak memegang jawatan Mursyidul Am Pas menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur.
Zulhazmi Shariff yang juga calon Ketua Pemuda Pas pada pemilihan 2013 menjelaskan, ini kerana Abdul Hadi menganggotai Majlis Syura Ulama yang merupakan badan tertinggi parti dan tidak wajar pada masa sama bertanding jawatan lebih rendah (presiden) bagi mengelak berlaku pertindihan kepentingan ketika menjalankan tugas.
“Saya cadangkan Abdul Hadi melepaskan jawatan presiden dan mengambil alih tugas Nik Aziz yang dilihat semakin uzur. Ketokohan dan ilmu yang ada pada Abdul Hadi dan diiktiraf dunia sehingga dimartabatkan sebagai Naib Ketua Ulama Dunia, melayakkan beliau dilantik sebagai Mursyidul Am Pas,” ujarnya.-SH