ARTIKEL SEBELUM

10/12/14

Tugas berat nanti Ketua Pembangkang baru

SHAH ALAM – Tugas berat bakal menanti Ketua Pembangkang Selangor yang baharu selepas penyandangnya meletakkan jawatan, semalam.

Menurut pemerhati politik, tanggungjawab calon yang bakal menggantikan Datuk Mohd Shamsudin Lias itu berganda selepas Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak menegur Umno di Selangor, baru-baru ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, siapa pun calonnya nanti perlu mempunyai keberanian dan integriti yang tinggi bagi menjamin tanggapan rakyat tidak terjejas terhadap parti itu.

“Tanpa integriti dan keberanian untuk bersuara bagi pihak pembangkang (BN), sudah tentu ia akan menjejaskan tanggapan rakyat. Jadi, keberanian dan pengetahuan yang memahami aspirasi rakyat serta mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai isu-isu yang berbangkit amat penting dalam hal ini.

“(Bakal galas tugas berat?)Memang betul, siapa pun galas tugas pembangkang bukan senang apatah lagi PR di situ (Selangor) begitu kuat,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat calon ketua pembangkang itu juga perlu mampu menjalin kerjasama dengan semua pihak dalam BN di negeri ini selain mendapat sokongan daripada akar umbi barusan pembangkang.

“...dapat menjalin kerjasama dengan semua pihak di sana (BN Selangor)...dapat menyatukan semua kem-kem yang ada dalam Umno.

“Pemimpin ini harus boleh menyatukan kem-kem itu kerana dengan penyatuan itu dapat memperkuatkan kedudukan Umno dan pembangkang di situ (Selangor),” katanya.


Selain itu, Umno Selangor juga disaran agar meyakinkan pengundi khususnya golongan muda bagi mengelakkan parti itu terus berada dalam barusan pembangkang dalam pilihan raya akan datang.

“Apa yang berlaku sebelum ini, mereka (Umno) dilihat tidak berupaya untuk memanfaatkan peluang daripada krisis yang berlaku dalam PR tempoh hari berkaitan isu Menteri Besar Selangor.

“Mereka seolah-olah kehilangan punca dan tidak menonjolkan keupayaan untuk menangkis hujah-hujah yang ada,” katanya.

Sementara itu, Prof Dr Ahmad Atory Hussain pula berpendapat, kesemua 12 Adun BN di Selangor layak menggalas tanggungjawab itu.

“Antara 12 Adun itu, saya rasa semuanya layak untuk menggalas tanggungjawab berkenaan. Semuanya boleh diketengahkan. Datuk Budiman pun boleh...siapa-siapa pun boleh.

“Tapi, semuanya bergantung pada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar,” katanya.

Semalam, Adun Sungai Burong tersebut meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta susulan keengganan beliau menerima jawatan Pengerusi Kira-kira Wang Awam (PAC) Selangor.

Katanya, tindakan Dun Selangor meminda peraturan tetap 68(1) yang mewajibkan Ketua Pembangkang menjadi Pengerusi PAC yang diluluskan 4 Disember lalu menyebabkan beliau terikat dan tiada pilihan.

Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh pula memberitahu, tugas semak dan imbang ialah tanggungjawab pembangkang di setiap negeri.

Katanya, Peraturan Tetap 68 (1) ditukar supaya Pengerusi PAC dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang bukan untuk main-main tetapi diselaraskan dengan negara Komanwel lain seperti Australia, United Kingdom, India dan New Zealand.

Menurutnya, Shamsudin menolak tawaran sebagai Pengerusi PAC itu sejak 2010.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud