ARTIKEL SEBELUM

24/12/14

Pas Kelantan: Jangan samakan hudud, apartheid

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas memberi amaran kepada MCA Kelantan supaya tidak lancang mengungkap sesuatu istilah dan cuba menyamakan hukum hudud dengan mana-mana sistem ciptaan manusia.

Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan pemimpin MCA sepatutnya perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti orang Islam kerana hudud adalah persoalan agama.

"Kalau apartheid itu lain maksudnya, kena jelaslah, sebab itu jangan bermain dengan perkataan.

"Saya nasihatkan MCA jangan bermain dengan perkataan dengan istilah (apartheid) itu," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Mohd Amar yang juga Adun Panchor berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha MCA Kelantan, Lua Choon Han semalam yang mengatakan pelaksanaan hukum hudud menyebabkan berlaku sistem ala apartheid di negeri itu.

Choon Han berkata, hudud juga akan mewujudkan jurang agama antara orang Islam dengan bukan Islam dengan undang-undang yang berbeza.

Terdahulu, kerajaan Kelantan akan mengadakan sidang khas Dun Kelantan pada 29 Disember ini untuk meminda Kanun Jenayah Syariah II 1993 bagi membolehkan sebahagian hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.

Cadangan Kelantan itu bagaimanapun menimbulkan konflik dalam PR di mana DAP menentangnya manakala Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap cadangan itu bermasalah.

Mengulas lanjut, Mohd Amar menambah, pindaan tersebut bukannya perkara baharu sebaliknya untuk menambah baik enakmen sedia ada.

"Kita bukan buat benda baharu, cuma kita menambahkan bidang kuasa kepada mahkamah syariah.

"Hari ini orang Islam ikut agama dia (hukuman) tidak boleh berkhalwat, tidak boleh minum arak, tidak boleh berzina, sama saja, bukan Islam bebas," katanya lagi.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud