Selepas penemuan serpihan beberapa objek dipercayai daripada pesawat AirAsia Indonesia QZ8501, pasukan misi mencari dan menyelamat (SAR) kali ini melihat jasad manusia di perairan Selat Karimata dekat Teluk Air Hitam, Kalimantan Barat.
Portal berita Detiknews melaporkan, kru pesawat Hercules A3119 menemukan jasad manusia itu pada kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
Menurut pasukan SAR itu, pada mulanya mereka menyangka objek dilihat melalui kamera itu ialah seseorang yang sedang melambai.
Dengan tujuan merakam gambar dengan lebih jelas, pasukan itu menuju ke Pangkalan Bun di Kalimantan Tengah di tempat objek itu kelihatan.
"Saya fikir orang (jasad) melambai, tetapi setelah foto dimuat naik ke komputer rimba, terlihat badannya sudah mengembung. Jadi itu seperti susuk mayat," kata Pembantu Juruterbang Tri Prabowo.
"Saya hampir positif kerana titik lokasinya tidak berjauhan dari posisi terakhir pesawat yang dikesan," katanya.
Terdahulu, tentera udara Indonesia menaiki pesawat Hercules juga menemukan lebih dari 10 objek termasuk yang kelihatan seperti pintu pesawat dan tiub panjang berwarna oren di Selat Karimata.
Pesawat Airbus 320-200 bersama 162 orang penumpang dan anak kapal berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi Ahad dan dijadualkan tiba di Singapura pada 8.20 pagi tetapi hilang komunikasi dengan menara kawalan trafik udara Indonesia pada 7.24 pagi.
Seramai 155 daripada mereka adalah warga Indonesia dan seorang dari Malaysia.- TMI