ARTIKEL SEBELUM

15/12/14

Nur Jazlan nafi sertai PKR

Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini menafikan dakwaan kononnya beliau akan keluar Umno dan menyertai parti pembangkang, PKR.

Beliau yang terkejut dengan dakwaan itu menegaskan semangat Umno masih menebal dalam jiwanya dan tidak pernah terlintas di dalam hati beliau untuk meninggalkan parti.

"Saya anak kepada bekas Setiausaha Agung Umno (Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat) yang mengembalikan parti 25 tahun dulu dan masih menebal jiwa Umno dalam diri. Takkan saya nak meninggalkan Umno," tegasnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa diminta mengulas dakwaan itu ketika ditemui semasa melakukan lawatan ke kawasan projek Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) di sekitar Kempas di Johor Baru.

Dakwaan itu dipercayai timbul selepas beliau menyatakan "Saya sudah tidak kisah soal kedudukan politik saya lagi," semasa diminta mengulas oleh sebuah akhbar mengenai kehadirannya pada forum 'Freedom of Expression Under Threat?' di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau dilaporkan sudah tidak kisah dengan kedudukan dalam parti kerana sudah sampai ke peringkat umur yang sudah terlalu tua untuk bercita-cita untuk memegang apa-apa jawatan.

Laporan kenyataan beliau itu turut disiarkan dalam blog pembangkang dan blog pro-kerajaan.

"Saya hendak masuk pembangkang buat apa. Umno dan Barisan Nasional (BN) sekurang-kurangnya ada misi kerana Pakatan Rakyat nampak tiada permuafakatan dan pecah kepada tiga. Jadi BN jugalah antara yang terbaik untuk disertai.

"Kalau saya kritik Umno itu biasalah sebab saya rasakan Umno juga perlu perubahan agar selari dengan hasrat pemimpin lama yang menghidupkan Umno baharu ini," kata Nur Jazlan. – Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud