Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Utusan Melayu (M) Berhad membayar ganti rugi RM250,000 kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang kerana memfitnahnya dalam satu artikel berkaitan pelantikan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu.
Hakim Datuk Yeoh Wee Siam juga memerintahkan syarikat itu membayar kos RM25,000 kepada Kit Siang selepas membenarkan saman yang dikemukakan Ahli Parlimen Gelang Patah itu.
Hakim itu membuat keputusan tersebut selepas mendapati Kit Siang berjaya membuktikan kesnya terhadap syarikat itu selaku defendan.
Pada 27 September 2013, Lim memfailkan saman itu dengan mendakwa akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 18 Ogos tahun lalu menyiarkan artikel bertajuk 'Kit Siang manipulasi CEC?' yang didakwa mengandungi perkataan berunsur fitnah.
Kit Siang selaku plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya. - Bernama