HULU TERENGGANU - Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari menafikan dakwaan mengenai Stesen Jana Kuasa Sultan Mahmud atau lebih dikenali Empangan Kenyir pecah dan menyebabkan air di empangan tersebut melimpah ke kawasan kampung sekitar sebagaimana yang disiar di media sosial.
Penyebaran berita palsu tersebut menjadi viral selepas satu video yang berdurasi 36 saat serta gambar berhubung satu kejadian tanah runtuh di empangan tersebut disebarkan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Jailani berkata, gambar dan video tersebut hanyalah palsu dan tidak benar serta tiada kaitan dengan Stesen Jana Kuasa Sultan Mahmud.
"Ianya tidak benar dan saya minta orang ramai supaya berhenti menyebarkan berita palsu ini kerana ianya akan menyebabkan orang awam mula panik dan pihak yang tak bertanggungjawab menyebarkan video dan gambar tersebut perlu sedar perbuatan tersebut sudah menyusahan ramai pihak.
"Saya minta supaya video tersebut dihentikan penyebarannya dan orang ramai perlu mengikuti perkembangan berita dari media yang sahih dan ikut segala arahan dari pihak berkuasa," katanya ketika ditemui pemberita sewaktu melakukan tinjauan di beberapa kampung di daerah ini.
Jailani berkata, pihaknya telah mendapat maklumat dari pihak berkaitan dan air di empangan tersebut masih di paras normal.
"Saya dah dimaklumkan yang air di empangan tersebut masih di paras normal, jadi tidak timbullah isu empangan tersebut pecah dan saya nasihatkan supaya dimasa kita menghadapi bencana banjir ini janganlah ada pihak yang mengambil kesempatan," katanya.
Jailani yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu turut menasihatkan penduduk yang enggan berpindah supaya mengikut arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah. - Bernama