ARTIKEL SEBELUM

16/12/14

Hudud: PAS, DAP sekali lagi tak keruan

 

Langkah Kelantan mahu mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 29 Disember ini bagi membuka laluan pelaksanaan hudud sekali lagi meletakkan hubungan DAP dan PAS dalam suasana tidak menentu.

DAP, yang mengkritik agenda hudud PAS dalam persidangan tahunnya semalam, hari ini mengingatkan terus PAS supaya memenuhi rangka kerja dasar Pakatan Rakyat selagi berada dalam Pakatan Rakyat.

"Sekiranya mereka meneruskan untuk melaksanakannya, kita mesti membantahnya secara jelas, bukan sahaja pendirian secara individu tetapi juga melalui pendirian parti," katanya MP Puchong Gobind Singh Deo (kanan).

Bapanya, mendiang Karpal Singh dan bekas Pengerusi DAP adalah antara pemimpin yang keras mengkritik matlamat teokrasi PAS.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata langkah PAS itu "jelas" tidak menepati kehendak pakatan pembangkang itu.

Bagaimanapun, PAS pula terus mempertahankan langkah itu berdasarkan prinsip demokrasi.

"Ini negara demokrasi. Biarkan ia melalui proses demokrasi.

"Kamu tidak boleh bercakap (guna) demokrasi, kemudian menghalang rakyat mengikutinya melalui proses demokrasi," kata Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar (kiri).

Sementara Ketua Pemuda PAS Shaizan Kaiat berkata DAP perlu menghentikan mengulas hukum hudud secara terbuka, sebaliknya memfokuskan usaha memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"PAS dan DAP setuju untuk tidak bersetuju mengenai isu ini. Mencetuskan polemik secara terbuka mengenai isu ini boleh menyebabkan prejudis dan memberi kesan pada keyakinan rakyat," katanya.

Beliau juga berkata BN dan Umno akan menggunakan isu ini untuk menjatuhkan Pakatan. 

 

 

 

Hudud: Semua pihak perlu hormati sistem demokrasi



KUALA LUMPUR: PAS meminta semua pihak menghormati sistem demokrasi yang ada di negara ini dalam semua pelaksanaan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi semua pihak boleh bersuara dalam mengetengahkan pendapat.

"Saya tidak boleh meminta Pakatan Rakyat untuk ganggu negara demokrasi, begitu juga saya tidak boleh meminta DAP untuk ganggu konsep demokrasi.

"Begitu juga pelaksanaan hudud ia sekarang sedang melalui proses demokrasi dan biarlah ia melalui segala proses-proses tersebut sebelum keputusan akhir dibuat," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Beliau yang turut menyokong PAS melaksanakan hudud kerana perancangannya melalui proses demokrasi dan bukan paksaan.

"Kita tidak boleh nak halang Kelantan melaksanakan hudud, sebab di Kelantan itu sendiri kelulusan dilakukan di peringkat Dewan Undangan Negeri, ini demokrasi awal perjalanannya.

"Dan sekarang ia akan dicadangkan akan dibawa ke parlimen untuk proses demokrasi seterusnya, jadi setiap pihak perlu menghormatinya, di parlimen semua pihak boleh berbahas menentang atau menyokong," sambung beliau lagi.

Ahli Parlimen Pokok Sena turut berkata PAS akan menerima apa-apa keputusan yang akan diputuskan di peringkat parlimen terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan.

"Seperti juga pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan‎ (GST) kita menentang tetapi ia melalui proses demokrasi di parlimen melalui suara ramai.

"Inilah yang akan dilalui hudud melalui proses yang sama dan tidak pernah ada istilah ingin menggunakan jalan belakang.

"Atas sebab-sebab itu kita mesti menghormati demokrasi kerana itu menjadi pegangan utama kita dalam negara ini," sambung beliau lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada lawatan beliau di pejabat akhbar Sin Chew Jit Poh sebelum ini meminta agar semua pihak perlu memberi platform untuk PAS memberi penerangan jelas tentang hudud.

Katanya, pelbagai andaian dan tanggapan ini timbul apabila ada pihak yang tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai hudud khususnya kaum Cina.‎

"Perlu ada platform khusus untuk kita (PAS) memberi penjelasan tentang hudud yang sebenarnya.

"Selagi tidak ada platform ini menyebab apa sebenarnya dan cara pelaksanaan hudud itu tidak diterangkan dan disampaikan khususnya masyarakat Cina dalam negara ini," kata beliau.

Dalam pada itu, Mahfuz turut menolak tidak pernah ada perselisihan faham PAS dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, setiap apa yang berlaku itu sebenarnya menguatkan jalinan kerjasama dalam mendapat sokongan rakyat.‎

DAP pada Konvensyen Nasional di Subang Jaya semalam memberi amaran kepada kepimpinan Pakatan Rakyat supaya bertegas untuk tidak melaksanakan hukum hudud di negara ini jika gabungan parti pembangkang ingin merampas pentadbiran di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng menegaskan kepimpinan Pakatan Rakyat agar menyatakan pendirian tegas dalam hal tersebut bagi memenuhi aspirasi pengundi khususnya dari Sabah dan Sarawak. - HARAKAHDAILY

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud