ARTIKEL SEBELUM

25/11/14

Umno yang terancam, bukan Melayu dan Islam

Melayu dan Islam tidak terancam di Malaysia, tetapi Umno yang merasakan bahangnya, kata ahli panel di sebuah forum di Kuala Lumpur malam tadi.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said mempersoalkan bagaimana Melayu dan Islam terancam di Malaysia ketika semua jawatan tertinggi dalam negara diduduki orang Melayu.

“Sejak dulu hingga sekarang, perdana menteri, timbalan perdana menteri dan juga menteri dalam negeri terdiri daripada orang Melayu,” kata Samad kepada lebih 200 hadirin yang hadir ke Hotel Mandarin Court pada forum bertajuk “Apakah Melayu dan Islam Diancam?”.


Samad berkata, sejak awal kemerdekaan negara, orang Melayu sudah menguasai semua jawatan tertinggi dan berpengaruh yang menentukan hala tuju Malaysia.

“Lihat polis dan tentera, majoritinya Melayu, termasuk semua jawatan tertinggi. Jadi mengapa Melayu dan Islam terancam?”

“Persoalan Melayu dan Islam sedang diancam hanya berbangkit semasa pilihan raya umum dan perhimpunan agung Umno,” kata Samad.

Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang berkata hanya golongan elit Melayu dan Umno rasa terancam di forum 'Adakah Melayu dan Islam Terancam?' di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 25 November, 2014.


Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang bersetuju dan menambah Melayu yang merasa terancam hanyalah dolongan elit dan Umno, selepas keputusan pilihan raya umum 2008 dan 2013.

“Dilaporkan Melayu dalam bahaya untuk menjadi seperti Red Indian di Amerika Syarikat. Tetapi mengapa Melayu melihat kepada kemungkinan ini?

“Persoalan ini perlu dijawab semua enam perdana menteri daripada Umno, termasuk Datuk Seri Najib Razak,” kata Lim dan menambah Tun Dr Mahathir Mohamad harus menjawab mengapa pemerintahan 22 tahunnya menyebabkan Melayu berisiko menjadi Red Indian.

Lim berkata, isu sebenarnya adalah bukan Melayu dan Islam terancam tetapi yang sebenarnya terancam di Malaysia adalah semua kaum dan agama.

“Lihat ranking antarabangsa, ianya tidak menipu. Malaysia berada di 50 teratas dalam ranking keganasan antarabangsa,” kata Lim.

“Angka ranking pendidikan kita jatuh setiap tahun. Putrajaya harus fokus kepada ini berbanding politik kebencian dan taktik menakut-nakutkan.”


Pakar Perlembagaan Aziz Bari berkata keputusan pilihan raya umum 2008 dan 2013 beri jawapan jelas di forum 'Adakah Melayu dan Islam Terancam?' di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 25 November, 2014.

Pakar Perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari mengatakan keputusan pilihan raya umum 2008 dan 2013 memberikan jawapan yang jelas sama ada Melayu dan Islam itu terancam.

“Umno yang terancam, sebab itu kumpulan hak Melayu seperti Perkasa dan Isma muncul. Melayu dan Islam selamat,” kata Aziz.

“Tidak mempunyai majoriti dua pertiga bagi Barisan Nasional bermakna kerajaan yang memerintah tidak boleh membuat perubahan sesuka hati di Parlimen.”

Aziz berkata, beliau tidak faham mengapa Perkasa, Isma dan Umno beperangai seperti orang gila, bercakap tentang hak Melayu dan Melayu sedang terancam secara konsisten.

“Hak keistimewaan dan kedudukan Melayu dijamin Perlembagaan Persekutuan. Jadi mengapa kumpulan ini memfokuskan secara konsisten kepada sejarah?”

“Ini kerana Umno gagal untuk membebaskan Melayu secara ekonomi, sebab itu kedudukan gabungan pemerintah dalam bahaya,” katanya.

Aziz juga mengkritik bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad kerana mengatakan orang Melayu akan menjadi seperti Red Indian sekiranya PAS dan Umno tidak bekerjasama.

"Hamid tidak faham sejarah," kata Aziz, memberi amaran jika PAS bergabung dengan Umno, kuranglah semak dan imbang terhadap Putrajya.

"Lihat, Najib pun sedang sakit kepala dengan perangai sebahagian ahli Umno," kata Aziz yang mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa setuju Melayu dan Islam terancam di forum 'Adakah Melayu dan Islam Terancam?' di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 25 November, 2014.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa pula berbeza pendapat, berkata beliau setuju orang Islam dan Melayu sedang diancam.

"Saya tidak bersetuju meletakkan Islam dan Melayu bersama-sama, kerana Islam lebih tinggi daripada Melayu," kata Husam, menjelaskan Melayu tidak boleh melepasi kemuliaan Islam.

"Mengapa saya katakan Melayu sedang terancam? Kerana perang psikologi yang dijalankan Umno dan diketuai Isma dan Perkasa," kata Husam.

Sebulan selepas pilihan raya umum ke-13 tahun lepas, Husam berkata satu kaji selidik dijalankan Merdeka Centre menunjukkan 26% orang Melayu merasakan mereka sedang terancam.

"Bagaimanapun, selepas usaha propaganda yang kuat daripada Barisan Nasional dan NGO Melayu, 55% orang Melayu kini merasakan mereka semua terancam."

Husam berkata kesan perang propaganda itu tidak boleh dinafikan, lebih lama lagi Umno memerintah Malaysia, orang Melayu akan lebih berasa seperti Red Indian.

"NGO menggunakan Islam bagi isu rasis, dan agama tersebut digunakan dan dikembangkan untuk kesesuaian politik," kata Husam.

Beliau berkata perbezaan paling besar antara PAS dan Umno, adalah PAS mementingkan Islam sementara Umno mementingkan Melayu.

"Pemisahan bangsa sangat ketara dalam Barisan Nasional di kawasan majoriti-Melayu, hanya pemimpin Melayu yang akan mendekati dan bercakap dengan pengundi.

"Tetapi Pakatan Rakyat berbeza, semua pemimpin akan turun padang dan bercakap dengan rakyat, tidak kiralah mereka Melayu atau bukan Melayu,” katanya,

Husam berkata formula kemelayuan yang digunakan Putrajaya tidak mampu menjadikan Melayu dan Islam kuat, sebaliknya mengancam mereka.

Penganjur forum, Koordinator Roketkini.com Edry Faizal berkata forum tersebut dianjurkan kerana ia isu yang melibatkan rakyat.

"Lim sudah menimbulkan isu ini di Dewan Rakyat, tetapi tiada siapa yang ingin mendebatkan atau berbincang perkara itu. Jadi kami rasa menganjurkan forum ini langkah yang terbaik.

"Sekurang-kurangnya kita dapat soalan langsung daripada rakyat untuk memulakan perbincangan," kata Edry kepada The Malaysian Insider selepas forum itu.

Edry berkata sama ada Islam dan Melayu sedang terancam merupakan sesuatu yang ditimbulkan secara langsung dan tersirat pelbagai kumpulan, termasuk NGO Melayu.

Aktivis Siti Kassim yang menghadiri forum itu memberitahu panel, orang Melayu sepertinya adalah mereka yang sebenarnya terancam.

"Islam digunakan parti politik untuk kepentingan mereka, itulah isu dan masalah sebenar.

"Melayu dan Islam memang berkait, apabila subjek Islam ditimbulkan, Melayu juga terlibat,” katanya.

Katanya, PAS dan Umno juga bersalah kerana mereka bersaing untuk menjadi lebih Islamik daripada masing-masing.

"Umno hanya memberi reaksi kepada PAS dengan percubaan menampakkan mereka sebagai lebih Islamik daripada PAS," kata Siti.- TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud