Bendahari PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim telah memfailkan permohonan di mahkamah bagi kebenaran mencabar pemecatannya daripada semua jawatankuasa tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan pembekuan peruntukannya.
Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di Kepala Batas pada 14 November lepas melalui peguamnya Mohd Harris Abdullah daripada The Law Office of Mohd Harris.
Iszuree mengedarkan salinan afidavit permohonan itu kepada pemberita dalam sidang media di Kepala Batas semalam.
Dalam permohonannya itu, beliau menamakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai responden pertama, MPPP sebagai responden kedua dan kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai responden ketiga.
Dalam afidavitnya, beliau menuntut kebenaran mahkamah untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 26 September 2014 dan keputusan responden pertama yang dibuat pada 25 September 2014 yang telah memutuskan Iszuree dikeluarkan dari semua jawatankuasa tetap responden kedua dan pembekuan semua peruntukannya.
Beliau juga memohon kebenaran mahkamah untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 29 September 2014 dan keputusan responden pertama yang dibuat pada 25 September 2014 yang telah memutuskan bahawa beliau dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap responden kedua, mesyuarat ad-hoc dan pembekuan peruntukan secara serta merta.
Tuntutan lain yang dibuat ialah sekiranya mahkamah memperkenankan kedua-dua permohonan itu, beliau juga memohon perintah sementara untuk menggantung keputusan responden pertama yang disampaikan kepadanya melalui surat responden kedua bertarikh 26 September dan 29 September 2014 sehingga usul substantif didengar.
Iszuree juga memohon responden pertama, kedua dan ketiga membayar ganti rugi kepadanya seperti yang ditaksirkan oleh mahkamah kelak dan kos permohonan sampingan ditanggung dan dibayar oleh ketiga-tiga responden dalam apa keadaan sekalipun.
Dalam sidang media itu, Iszuree berkata tuntutan yang dibuat itu bertujuan menuntut keadilan dan memulihkan semula maruahnya kerana diberhentikan tanpa berpeluang membuat pembelaan.
"Ini adalah soal maruah... bukan saya nak tuntut semula jawatan saya itu, jangan menghukum tanpa bicara.
"Saya berharap agar keadilan yang diperjuangkan dapat dibuktikan, jangan hanya cakap tidak serupa bikin," katanya.
Iszuree didakwa disingkirkan daripada semua jawatankuasa tetap MPPP berikutan ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor Bahru baru-baru ini yang mengkritik kerajaan negeri berhubung isu dasar perumahan.
- Bernama