PUTRAJAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan pengikut dan pimpinan PR sepanjang lapan hari berlangsungnya prosiding rayuan akhir kes liwat II di Istana Kehakiman Putrajaya, hari ini.
Berucap selepas mahkamah menangguhkan kes tersebut, Anwar turut melahirkan rasa syukur ekoran masih diberi semangat dan kekuatan berdepan segala dugaan.
"Hari ini saya beritahu pada Azizah (Isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) sebelum solat Jumaat, keputusan pada hari ini, sama ada bebas atau masuk penjara.
"Saya syukur Alhamdulillah masih diberi semangat dan kekuatan. Azizah ada, begitu juga teman-teman yang setia.
"Semalam saya dah beritahu perasaan saya dari mana kekuatan saya datang daripada doa kawan-kawan," katanya kepada semua penyokong-penyokong yang menanti sejak jam 2 petang tadi.
Dalam ucapan sama, Anwar turut menyentuh soal sokongan tanpa henti dari pimpinan DAP dan Pas.
"Rakan-rakan DAP, semua ada. Setiap hari, tak pernah putus. Pas, hampir semua (datang) tapi kadang-kadang yang nampak yang tak datang, yang ramai datang itu tak nampak.
"Jadi, saya ucap terima kasih kepada semua," katanya.
Anwar kelihatan tiba di mahkamah pada jam 2.15 petang lengkap bersongkok dengan kemeja biru selepas berarak dengan penyokong-penyokongnya dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin usai menunaikan solat Jumaat.
Diiringi laungan 'reformasi', Anwar sempat melambai dan bersalaman dengan penyokong-penyokongnya sebelum melangkah masuk ke dalam mahkamah.