Seorang pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang menghadapi tuduhan serangan seksual akan tiba di New Zealand Sabtu ini, setelah proses ekstradisi yang lama tertangguh untuk mendakwanya di negara itu.
Muhammad Rizalman Ismail, yang kepulangannya ke Malaysia pada Mei lalu menimbulkan kekecohan kerana dia sebelum itu ditangkap atas tuduhan menyerang seorang wanita di Wellington, dijangka berlepas dari Kuala Lumpur pada hari Jumaat ditemani polis New Zealand.
Laporan media New Zealand mengatakan, sebaik tiba, beliau akan segera dibawa ke Mahkamah Daerah Wellington.
Menteri Luar Murray McCully dipetik berkata, sebuah mahkamah Malaysia mengarahkan ekstradisi Rizalman dan perkara itu sekarang berada "sepenuhnya dalam sistem kehakiman kedua-dua negara," menurut The Dominion Post.
"Mereka yang bertanggungjawab dalam hal undang-undang bersusah payah memastikan akan wujud perbicaraan yang adil dan tidak akan timbul persoalan mengenai sebarang kecacatan dalam proses ini yang akan menjejaskannya.
“Saya menghormati proses ini, begitu juga saya harapkan kepada orang lain," akhbar itu memetik beliau sebagai berkata, mengulas spekulasi media tentang tarikh perbicaraan Rizalman.
Rizalman, staf pertahanan berpangkat Pegawai Waran II yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, dituduh menyerang Tania Billingsley, 22, di rumahnya, dengan niat untuk merogol pada 9 Mei.
Kepulangannya ke Malaysia selepas menggunakan imuniti diplomatik membangkitkan kemarahan negara itu dan pihak berkuasa di sana melancarkan siasatan bagaimana Rizalman dapat dibenarkan meninggalkan negara itu.
Dia kemudiannya dimasukkan ke Hospital Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur bagi menjalan beberapa siri ujian psikiatri.
Baru-baru ini, Malaysia dan New Zealand mengumumkan sedang bekerjasama menguruskan penghantaran pulang Rizalman ke Wellington bagi menghadapi tuduhan itu.
Putrajaya berkata proses ekstradisi itu diambil hasil semangat kerjasama yang rapat dalam parameter undang-undang sedia ada di kedua-dua negara, memandangkan tiada perjanjian berkenaan ekstradisi terjalin antara Malaysia dan New Zealand selama ini. TMI