Menyiasat ancaman bunuh dan serangan secara fizikal adalah bidang kuasa pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedia bekerjasama membantu siasatan sekiranya diperlukan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Shabery berkata, ancaman bunuh merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan yang terletak di bawah bidang kuasa PDRM.
"Itu kerja polis, jenayah, bunuh ini kerja polis, kita akan membantu polis,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur malam tadi ketika ditanya tindakan SKMM terhadap pengguna laman sosial yang mengugut untuk membunuh Syed Azmi Alhabshi ekoran program “I Want To Touch A Dog” yang dianjurkannya baru-baru ini.
"Ancaman bunuh ini jenayah di bawah Kanun Keseksanan, ini kerja polis.
“Kita akan bantu siasatan, itu tidak ada masalah, kerja kita membantu siasatan," kata Shabery yang juga ahli Parlimen Kemaman.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim mengesahkan sebelum ini sekurang-kurangnya dua laporan polis dibuat terhadap penganjuran program berkenaan.
Beliau mengesahkan, laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya dengan pengadu mendakwa sensitiviti umat Islam dipersendakan.
Syed Azmi kini menghilangkan diri daripada umum selepas menjadi sasaran ancaman bunuh dan tuduhan murtad daripada komuniti Melayu-Islam di media sosial yang marah dengan tindakannya menganjurkan acara "I Want To Touch A Dog" untuk umat Islam di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Kebanyakan pengguna laman sosial Melayu sangsi dengan keberaniannya menganjurkan acara untuk mendidik orang ramai mengenai pendirian Islam tentang anjing, menyebarkan nombor telefon bimbitnya atas talian, sementara di aplikasi WhatsApp, mesej dihantar mengatakan dirinya seorang Kristian yang menyamar.
Sebelum ini Syed Azmi mudah untuk dihubungi melalui telefon bimbitnya atau Facebook, kini beliau menghilangkan diri.
Tetapi di Facebook, rakan-rakannya, keluarga dan jiran dari Taman Tun Dr Ismail memberikan respons terhadap ancaman bagi pihaknya.
Bagaimanapun, kebanyakan ancaman beliau diterima melalui komen terhadap posting di Facebook oleh Ustaz Mohd Kazim Elias yang menyelar acara tersebut.
“Saya dengan pandangan ustaz dan saya rasa penganjur ni jenis buta hati dan cetek agama dan suka merosakkan ugama dan patut rejam sampai mati. He he,” tulis Ghas Ku.
“Meh sini aku bagi sedas pelempang baru ada akal sikit penganjur tu,” tulis pengguna Facebook dengan nama Hafizzulnaim Samsuddin.
Seorang lagi pengguna Facebook Yusoff Ashaari berkata selain daripada mengambil tindakan terhadap Syed Azmi, orang ramai seharusnya mencari wanita-wanita yang mengambil gambar bersama anjing dalam acara tersebut, menarik tudung mereka untuk melihat sama ada mereka menggunakan kalung salib atau menyembunyikan tatu.
“Ustaz, penganjur ni benar-benar anjing,” tulis Han Khalief.
Melalui akaun Facebooknya, Kazim menuduh program tersebut sebagai percubaan untuk memperkenalkan idea “liberal” atau “plural” kepada umat Islam dan menambah ianya akan memberi laluan kepada kempen menyentuh dan memakan babi.
Program yang diadakan pada Ahad di Bandar Utama terbukti begitu popular dengan kehadiran hampir 1,000 orang yang mengambil bahagian dan belajar tentang anjing dan pandangan Islam terhadapnya.
Kebanyakan yang hadir mengambil peluang untuk menyentuh anjing daripada pelbagai baka termasuk chow-chow, huski, German Shephard dan poodle dibawa ke acara tersebut oleh pemiliknya.
Sukarelawan di acara tersebut juga menunjukkan bagaimana proses pembersihan dipanggil sertu atau samak yang melibatkan membasuh bahagian berkaitan enam kali dengan air bersih dan sekali dengan tanah.- TMI