ARTIKEL SEBELUM

29/10/14

Situasi menarik perbicaraan Presiden PAS

 

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berlangsung di Mahkamat Tinggi Kuala Terengganu semalam telah ditangguhkan 23 November depan.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu setelah saksi defendan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Ariffin Deraman dipanggil untuk memberi keterangan.

Sebelum itu, Tuan Guru Abdul Hadi dan Pengerusi PKR Terengganu yang juga Adun Bandar, Azan Ismail turut memberi keterangan.

Tuan Guru Abdul Hadi menghadapi saman yang difailkan bekas calon PKR Dun Bukit Besi pada PRU13 lalu, Mohd Shamsul Mat Amin susulan ceramah Presiden PAS itu di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang semasa kempen PRU berkenaan.

Berikut ialah petikan catatan Alang Ibn Shukrimun yang mengikuti perbicaraan itu.

Perbicaraan bermula pada 9.40 pagi dengan memanggil saksi pertuduhan plaintif, YB Azan Ismail yang juga Pengerusi PKR Terengganu. Seorang lagi saksi ialah wartawan Kosmo kerana pertuduhan dibuat atas butir laporannya. Namun beliau tidak menghadirkan diri.

Selepas rehat jam 10.15 pagi, mahkamah memanggil TGHH sebagai defendan bagi memberi keterangan. Segala pertanyaan dijawab walaupun hakim menyatakan empat soalan terakhir yang diajukan peguam plaintif tidak perlu dijawab kerana tidak relevan. Antaranya soalan adakah TGHH setuju bahawa beliau gagal mengemukakan empat orang saksi tentang kenyataannya? Macam bicara kes hudud zina pula.

Akhirnya mahkamah memanggil YB Ariffin Deraman sebagai saksi kenyataan TGHH pada ceramah yang menjadi subjek pertuduhan. Namun tiada sebarang soalan diajukan kepadanya.

Pada jam hampir 11.30 pagi, mahkamah menangguh perbicaraan ke 23 November depan.

Mahkamah sesak dipenuhi penyokong TGHH dari seluruh negara termasuk Sabah hingga memaksa hakim membenarkan pemerhati duduk bersila di atas lantai. Mungkin ini mencetus suatu sejarah baru di Malaysia.

Apa yang menarik ialah reaksi spontan pemerhati yang mengikuti prosiding dari awal hingga akhir. Walaupun pihak mahkamah meminta pemerhati senyap, tetapi reaksi-reaksi yang tercetus dari pemerhati adalah spontan dalam separuh sedar.

Seingat saya ada tiga babak menarik:

Babak 1

Peguam: Bagaimana YB boleh menganggap Tuan Guru dalam ceramahnya memaksudkan orang muda di kalangan calon yang mengalami pertindihan kerusi? Adakah benar Chegu Bard juga seorang di antara calon di kerusi bertindih?

YB Azan: Ya benar.

Peguam: Adakah benar Chegu Bard juga orang muda?

YB Azan: Err... saya tak kenal siapa Chegu Bard.

Spontan pemerhati ketawa. Azan bukan sahaja Pengerusi PKR Negeri, beliau juga mengaku salah seorang yang terlibat menentukan calon di peringkat Pusat. Chegu Bard pula pemimpin PKR pusat paling tersohor, mungkin lebih dikenali berbanding Azmin Ali.

Kalau benar beliau tak kenal, kami ahli PAS sangat kenal Chegu Bard jika setakat ingin menjawab soalan peguam. Mungkinkah ukhuwwah ahli PAS terhadap ahli PKR lebih utuh berbanding sesama pimpinan PKR sendiri?

Babak 2

Peguam: Adakah Datuk Seri setuju bahawa kenyataan Datuk Seri adalah fitnah?

TGHH: Siapa orang yang saya fitnah itu?

Peguam: Datuk Seri (TGHH), adakah benar kenyataan Datuk Seri adalah satu pembohongan?

TGHH: Tidak benar. Ia adalah suatu dosa besar menurut agama Islam.

Spontan pemerhati bertakbir. Walaupun telah mengawal suara masing-masing, namun laungan Allahu Akbar tetap bergema kerana hampir keseluruhan melafazkannya serentak.

Babak 3

Peguam: Adakah Tuan Guru mengenali plaintif sebelum pada waktu tersebut?

TGHH: Tidak kenal, tidak tahu dan seingat saya tidak pernah berjumpa dengannya.

Peguam: Adakah Tuan Guru ada sebarang permusuhan dengan beliau?

TGHH: Adalah tidak munasabah saya bermusuh dengannya dalam keadaan saya tidak mengenalinya.

Spontan kami ketawa.

Seronok melihat perbicaraan TGHH berbanding saudara Azan. Suara TGHH lantang menjawab semua soalan sedangkan suara Azan amat perlahan dan meleret walaupun dekat dengan microphone. Hakim terpaksa mencelah menegur Azan kerana tidak menjawab soalan yang diajukan peguam.

TGHH sudah biasa terlibat dengan perbicaraan di mahkamah. Beliau pernah berhadapan peguam New York Post di mahkamah luar negara berhubung isu pertuduhan terrorist terhadap beliau. TGHH menang dalam perbicaraan tersebut. - HARAKAHDAILY

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud