GEORGE TOWN: Seorang remaja lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat 13 balkoni sebuah pangsapuri di Bukit Dumbar, di sini, Sabtu.
Mohamad Huzaimi Shaari, 14, ditemui mati di tingkat dua laluan parkir kenderaan pangsapuri itu dalam keadaan cedera parah di kepala pada pukul 4.02 petang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata mangsa yang telah kematian bapa tinggal bersama neneknya di pangsapuri berkenaan.
"Ibunya tiada di rumah kerana dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang akibat serangan angin ahmar baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.
Beliau berkata polis turut menemui sebuah kerusi di balkoni rumah nenek mangsa dan tidak menolak kemungkinan mangsa memanjat kerusi itu sebelum terjatuh.
Katanya polis tidak mengesyaki sebarang unsur perlakuan jenayah yang menyebabkan kematian remaja itu.
Mior Faridalathrash berkata mayat remaja itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.