ARTIKEL SEBELUM

13/10/14

Pemuda PKR bidas PAS gantung keahlian dua Adun sokong Wan Azizah

 


Pemuda PKR menyatakan kekesalan mereka terhadap tindakan PAS menggantung keahlian dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) selama setahun.


Naib Ketua Pemudanya Fahmi Fadzil (gambar) berkata, walaupun PAS berhak melakukan demikian mengikut perlembagaan parti, beliau mempertahankan tindakan Saari dan Hasnul yang menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, tindakan itu adalah satu langkah demokratik dalam usaha merungkaikan masalah krisis menteri besar Selangor.


"Ia juga satu langkah berani yang mengukuhkan ukhuwah di kalangan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) serta mengangkat semangat tahaluf siyasi dalam kerangka kerjasama PR," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saari dan Hasnul pada 15 Ogos lalu menyertai 28 Adun PKR dan DAP Selangor menyatakan sokongan mereka terhadap Adun Kajang Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar Selangor dan menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Saari dan Hasnul sepanjang tempoh penggantungan itu dilarang terlibat dalam sebarang aktiviti parti, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

"Pemuda PKR berharap kedua-dua Adun tersebut akan terus istiqamah dalam usaha tajdid dan islah demi politik Malaysia yang lebih baik," kata Fahmi.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dalam sidang media terdahulu hari ini berkata, dua Adun terbabit mempunyai tempoh 15 hari untuk membuat rayuan.

"Mereka boleh merayu berdasarkan Fasal 83(4)(5) Perlembagaan PAS pindaan 2011," katanya.

Katanya, rayuan bertulis boleh dibuat kepada Setiausaha Majlis Syura Ulama, badan yang mempunyai kuasa untuk membuat kata putus, melebihi kuasa Jawatankuasa Pusat.

Mesyuarat hari ini dipengerusikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Turut hadir Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu, Naib Presiden Salahuddin Ayub, Ketua Penerangan Datuk Mahfuz Omar dan AJK PAS Pusat Datuk Takiyuddin Hassan.

Hadi dalam Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor bulan lalu mengecam tindakan kedua-dua Adun itu, malah menggelar mereka sebagai “barua”.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud