SHAH ALAM - Khabar angin kini bertiup kencang mengatakan kerusi Dun Pelabuhan Klang bakal dikosongkan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam masa terdekat.
Menurut sumber terdekat bekas pemimpin Selangor itu, Abdul Khalid pernah meluahkan hasratnya untuk melepaskan jawatan yang dimenanginya pada PRU13 lalu susulan tekanan yang diterimanya selepas dipecat dari PKR.
"Sebelum Tan Sri Khalid meninggalkan pejabat SUK baru-baru ini, beliau ada merancang untuk meletak jawatannya sebagai wakil rakyat di Selangor sebaik sahaja pulang dari bercuti di luar negara.
"Beliau mungkin akan mengumumkan peletakan jawatannya sebelum Dun Selangor bersidang pada bulan depan," katanya kepada Sinar Harian Online ketika diminta mengulas desas-desus mengatakan Abdul Khalid bakal meletakkan jawatan tidak lama lagi.
Bagaimanapun khabar angin yang bertiup kencang sejak beberapa hari lalu dinafikan Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh sambil mengatakan pihaknya belum menerima sebarang notis peletakan jawatan Adun Pelabuhan Klang itu.
"Saya tak dengar apa-apa pun, saya juga tidak terima apa-apa dokumen (notis letak jawatan) daripada beliau, tak ada," katanya.
Ditanya mengenai keperluan memanggil Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) berhubung gesaan mengkaji semula semua perjanjian yang ditandatangani pentadbiran lalu, beliau berkata semakan itu tidak dilakukan Selcat sebaliknya ia sedang dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
"Tiada lagi, yang mengatakan hendak menyemak (perjanjian air) ialah menteri besar dan Exco, bukan Selcat.
"Sekarang, tiada apa-apa rancangan untuk Selcat memanggil mengenai isu ini, buat masa sekarang, pihak eksekutif atau menteri besar yang sedang menyemak perkara ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, jika semakan itu mendapati wujudnya unsur penyelewengan dan salah laku, Selcat boleh bersidang dan memanggil sesiapa sahaja termasuk Abdul Khalid.
"Selcat akan dipanggil jika ada keperluan itu, jawatankuasa itu akan bermesyuarat, sekarang memang tiada keperluan sebab pihak eksekutif menjalankan tugas membuat semakan," katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai kehadiran Abdul Khalid pada sidang Dun Selangor akan datang, Hannah bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.- sh