ARTIKEL SEBELUM

6/10/14

Keluarga sedih, 'selfie' bukan punca kemalangan

SHAH ALAM - "Selfie bukanlah punca kemalangan," demikian tegas anggota keluarga mangsa kemalangan di Kilometer 256, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora, Ipoh yang mengorbankan dua beranak, Noor Hayati Wook, 50, dan Siti Yuslianis Roslan, 20, kelmarin.

Anak saudara kepada Noor Hayati, Mohamad Hafizan Rosli, 27, berkata, kejadian yang berlaku itu adalah suatu takdir dan bukan berpunca daripada tindakan pemandunya yang juga anak mangsa, berselfie sambil memandu.

"Saya kesal kerana gambar pemandu kereta yang juga saudara saya, berselfie dengan ahli keluarga, menjadi viral di media sosial dan dikatakan sebagai punca kepada kemalangan tersebut.

"Mereka yang tidak tahu keadaan sebenarnya tidak patut membuat ulasan sedemikian.

"Malah gambar selfie itu diambil ketika mereka sekeluarga baru bertolak dari rumah di kawasan Bukit Beruntung," katanya kepada sebuah portal.

Jelas Mohamad Hafizan, kemalangan itu berpunca daripada sebuah treler yang dipandu laju di bahagian kiri jalan dan melanggar sebuah treler lain sehingga terbabas dan menyeret kereta mangsa di hadapannya, justeru, tiada kena mengena dengan perbuatan tersebut.

Sejak insiden tragis itu, beberapa keping gambar anak Noor Hayati, Yusriman berselfie semasa memandu sebelum kemalangan menjadi viral di Facebook.

Selain mendapat komen negatif daripada sebahagian pengguna media sosial dengan ada yang menyalahkan perbuatan tersebut sebagai punca kemalangan.

Dalam kemalangan itu, Yusriman cedera ketika mereka menaiki Proton Saga BLM untuk pulang berhari raya di Kampung Chain, Lenggong. Turut cedera abangnya, Yusrizal, 25, dan adiknya, Siti Yusliana, 12.

Jenazah kedua-dua beranak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chain, Ipoh.

Menurut Mohamad Hafizan, komen-komen negatif di media sosial berkaitan gambar selfie itu menambah kesedihan keluarga mangsa yang sememangnya sedang berduka ekoran musibah itu.- SH

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud