SHAH ALAM - Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Mat Daud menafikan berita kematian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kini tersebar di laman media sosial.
Mohd Asri turut meminta semua pihak berhenti menyebarkan berita ini menggunakan aplikasi Facebook (FB) ataupun WhatsApps.
"Sikap seperti ini sudah banyak kali dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Ia amat bertentangan dengan agama yang melarang dari menyebarkan berita tidak pasti kebenarannya apatah lagi berita kematian seorang tokoh yang amat disanjungi," katanya dalam satu kenyataan ringkas, sebentar tadi.
Tambah Mohd Asri, Nik Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan baharu sahaja menerima tetamu dari Kedah sejurus menunaikan solat Isyak di Masjid Pulau Melaka.