Portfolio bagi 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang baru dilantik diumumkan Rabu ini, kata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.
Katanya portfolio itu akan ditentukan setelah mengambil kira kemampuan dan kepakaran setiap exco, agar tanggungjawab yang diberikan dapat dijalankan dengan berkesan.
"Portfolio itu akan diberikan Rabu ini dan kami juga mahu memastikan anggota exco akan berkhidmat dengan lebih cekap dan berkesan," katanya.Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan sempena Ulang tahun Hari Keputeraan ke-68 Sultan Selangor Tahun 2013.
Dalam komposisi barisan exco yang diumum Azmin Jumaat lepas, PKR mendapat empat jawatan exco manakala PAS dan DAP, masing-masing tiga.
Tujuh anggota exco yang dilantik merupakan mereka yang berkhidmat di bawah pentadbiran bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. – Bernama