ARTIKEL SEBELUM

26/09/14

Kekalahan Pengkalan Kubor bukti PAS tidak boleh sendirian

Kekalahan PAS di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor malam tadi membuktikan walaupun di negeri yang mereka kuasai, parti Islam itu akan kalah tanpa sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat (PR), kata penganalisis.

Selain itu, PAS juga terperangkap dalam pertembungan dalaman terlalu hebat untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu daripada Barisan Nasional (BN), kata mereka kepada The Malaysian Insider.

“Kempen ini memperlihatkan kekuatan PAS tanpa rakan-rakan mereka, di negeri yang mereka kuasai,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian.


Beliau berkata tanpa sekutu PR, PAS hanya bergantung kepada kekuatan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, katanya.

“Sekarang beliau sudah di penghujung usia, semakin lemah dan bukan lagi di barisan hadapan, anda dapat lihat kurangnya semangat di kalangan pemimpin PAS dan penyokongnya.”

“Kurangnya semangat dan juga disebabkan PRK tersepit di antara cuti sekolah dan Hari Raya Haji menyebabkan peratusan mengundi rendah,” kata Ibrahim.

Rendahnya peratusan keluar mengundi memberikan indikasi pengundi luar yang kebiasaannya mengundi pembangkang tidak pulang untuk membuang undi, katanya.

Calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ali malam tadi menang PRK Pengkalan Kubor dengan majoriti lebih besar 2,635 undi mengalahkan calon PAS Wan Ibrahim Wan Rosdi.

Mat Razi mendapat 9,961 berbanding Wan Rosdi yang memperolehi 7,326 undi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary yang hanya memperoleh 38 undi.

Peratusan keluar mengundi hanya 73% berbanding 80% semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lepas.

PRK Pengkalan Kubor berlangsung beberapa hari selepas Muktamar PAS ke-60 yang menyaksikan perlawanan secara terbuka di antara kumpulan konservatif dan kumpulan progresif parti Islam itu.

Ia juga berlangsung selepas kemelut menteri besar Selangor yang mengeruhkan hubungan antara PAS dan parti komponen PR selepas parti Islam itu mengambil pendirian berbeza.

Pemimpin tertinggi DAP dan PKR tidak kelihatan sepanjang tempoh berkempen, meninggalkan PAS sendirian di Pengkalan Kubor.

“Isu dalaman antara PR juga memberi kesan kepada pengundi di kawasan tersebut,” kata Ibrahim.

Namun beliau meragui kemelut Selangor dan sikap PAS sepanjang isu itu memberikan kesan kepada PRK disebabkan faktor Pengkalan Kubor yang berada di kawasan pedalaman.

Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute berkata keputusan PRK memberikan gambaran masa depan politik PAS tanpa DAP dan PKR.

“Pengkalan Kubor bukan sahaja pengajaran, tetapi mini senario kepada masa depan mereka jika mahu bergerak sendirian,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata kekalahan menunjukkan menteri besar baru Datuk Ahmad Yaakob gagal menunjukkan kekuatannya sejak mengambil alih daripada Nik Aziz tahun lepas.

“Beliau mencuba memposisikan dirinya sebagai pemimpin lebih baik daripada Nik Aziz, cuba mendesak pelaksanaan hudud, tetapi ia tidak mendapat sambutan,” kata Wong.

Sementara itu, penganalisis politik Khoo Khay Peng berkata PAS perlu menempuh jalan panjang untuk memenangi sokongan pengundi, terutamanya apabila PKR dan DAP tiada.

“Pakatan sudah tentu tidak membantu PAS, tetapi yang memberikan kesan kepada PAS adalah perpecahan dalamannya,” katanya.

“Keputusan PRK menunjukkan keperluan pimpinan tertinggi parti memberikan hala tuju lebih jelas dan menyelesaikan pertembungan antara golongan konservatif dan sederhana.” – TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud