ARTIKEL SEBELUM

9/09/14

Di forum PasMa, kemarahan terhadap Hadi Awang membuak

AJK PAS Pusat Datuk Mujahid Yusof Rawa bercakap kepada hadiri di forum anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Raiezal, 9 September, 2014. 

Forum pertama anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) malam tadi yang mensasarkan untuk menghalang sebarang kerjasama di antara PAS dan Umno menyaksikan hadirin meluahkan kemarahan terhadap parti Islam itu dan presidennya berhubung peranan mereka dalam krisis menteri besar Selangor.

Persoalan sama ada Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu dikenakan tindakan kerana menentang keputusan parti dalam isu menteri besar Selangor termasuk masa depan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) diajukan kepada ahli panel seperti Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari.

“Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat PKR kerana enggan menurut keputusan parti, apakah tindakan yang akan dikenakan terhadap Hadi kerana menentang keputusan parti dalam isu MB Selangor?” soal seorang hadirin disambut dengan tepukan gemuruh di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di Kuala Lumpur malam tadi.Terdapat juga hadirin yang merungut bagaimana rosaknya imej PAS dalam menguruskan krisis ini sehingga seorang daripada hadirin mempersoalkan Mujahid mengapa beliau dan pemimpin seperti Dr Dzulkefly Ahmad dan Khalid Samad perlu memberikan penjelasan kepada orang ramai berhubung masalah dilakukan pemimpin lain.

Mujahid yang berhati-hati memberikan penjelasan kepada kira-kira 500 hadirin berkata PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno dan Hadi tidak dianggap maksum oleh parti Islam itu.

“Saya ingin beritahu di depan semua orang, PAS tidak mempunyai niat untuk bersekutu dengan Umno,” katanya disambut dengan tepukan hadirin pelbagai kaum di forum bertajuk PAS Campur Umno: Ke Mana Hala Tuju itu.

Mujahid berkata, tiada perjuangan dalam parti atau gerakan Islam yang mensucikan pemimpin tertentu dan mereka juga boleh ditegur kerana tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

AJK PAS Pusat itu berkata, ketaatan kepada pemimpin bukan bersifat mutlak kerana kepatuhan sepenuhnya hanya diberikan kepada perintah Allah dan Nabi Muhammad.

“Kami orang PAS dididik dengan satu hadis Nabi Muhammad, ‘ketaatan manusia sesama manusia adalah ketaatan yang tidak mutlak manakala ketaatan kepada Allah dan rasul itu adalah mutlak’,” katanya.- TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud