ARTIKEL SEBELUM

24/09/14

Che Tom Ibu Azmin berkata : Lupakan perkara lalu

GOMBAK - Tiada apa yang lebih menggembirakan buat seorang ibu apabila anaknya mencapai satu kejayaan baharu dalam karier.

Begitulah yang dirasai Che Tom Yahaya, 80, ketika mendapat perkhabaran anak keempatnya, Mohamed Azmin Ali menerima surat pelantikan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu, kelmarin.

Beliau yang mesra dipanggil Mak Tom berkata, berita tersebut disambut dengan emosi bercampur baur, antara senyum dan tangis.

Malah, meskipun keadaannya kurang sihat kerana mengalami sakit jantung, beliau tetap menggagahkan diri melayani tetamu di majlis kesyukuran sempena pelantikan Mohamed Azmin di kediamannya, di sini, semalam.

“Masa dapat tahu, makcik memang terkejut sebab makcik ada sakit jantung. Itu yang tak berapa sihat.

“Jadi bila dengar berita macam itu antara senyum dan tangis. Senyum sebab gembira dan tangis sebab sedih,” katanya.

Menurutnya, beliau begitu berbangga dengan pemilihan Mohamed Azmin yang dianggapnya sebagai tidak disangka-sangka.

Namun, dalam masa sama beliau menitipkan pesanan kepada Mohamed Azmin agar sentiasa menjaga hubungan baik dengan semua orang.

“Harapan makcik sebagai ibu mestilah tinggi. Kita nasihatkan dia yang terbaik.

“Sudah jadi menteri besar mesti mesra dengan orang bawahan. Jangan fitnah orang, jangan aniaya orang dan jangan berbohong,” katanya.

Che Tom juga berharap pelantikan Mohamed Azmin dapat menyelesaikan persengketaan keluarga beliau sebelum ini.

“Kalau boleh semua perkara yang dulu itu ditinggalkan. Jangan diingatkan lagi.

“Bila tengok ramai macam ini (hadir di majlis kesyukuran), semua orang suka pada dia. Jadi, kita pun rasa suka,” katanya.

Sebelum itu, suasana sebak menyelubungi kediaman Che Tom apabila Mohamed Azmin tiba untuk mendapatkan restu ibunya.

Mereka berdua saling berpelukan dan Mohamed Azmin turut mencium tangan ibunya.

Kedua-dua mereka memotong pulut kuning sebagai tanda kesyukuran di majlis yang turut dihadiri keluarga dan sanak saudara yang lain.

Selain Mohamed Azmin, Che Tom mempunyai lima anak yang lain iaitu Norlia, Intan Dawini, Azman, Azwan dan Ummi Hafilda.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud