PETALING JAYA - Lima isu tertangguh menjadi misi pertama buat menteri besar baharu, Mohamed Azmin Ali sebaik sahaja beliau menpengerusikan mesyuarat Exco Selangor pertama pada Rabu depan.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, empat perkara tersebut yang telah diputuskan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu dipertimbangkan semula demi kepedulian terhadap rakyat dan menjana pendapatan negeri.
"Kita nasihatkan menteri besar dan exco yang baharu ini supaya menurunkan elaun mereka pada kadar yang munasabah, kenaikan itu wajar tapi tidak perlu mendadak.
"Pemindahan dana pendidikan tidak pernah berlaku sebelum ini dan saya mohon menteri besar membawanya pada sidang Dun Selangor nanti," katanya pada sidang media, di ibu pejabat PKR, di sini, lewat petang tadi.
Dalam pada itu, Ketua Pembangkang itu juga mahu Azmin mengkaji semula beberapa perjanjian yang dibuat oleh kepimpinan Abdul Khalid kerana dikatakan berat sebelah dan menguntungkan pihak tertentu sahaja.
"Saya sokong penuh supaya Azmin menyemak semula kelulusan projek kontroversi lebuh raya bertingkat Kinrara-Damansara (Kidex) yang memberi manfaat kepada kroni tertentu.
"Saya juga sokong Azmin menyemak semula kelulusan tanah yang tidak mengikut proses termasuk perjanjian penstrukturan semula industri air Selangor," katanya.
Mengulas lanjut, Anwar mendakwa ketika Abdul Khalid menjadi menteri besar, beliau tidak pernah bermesyuarat walaupun sekali dengan ahli Jawatankuasa Mengenai Penstrukturan Air Selangor yang ditubuhkan Majlis Pimpinan PR pada awal tahun ini.
"Keputusan Majlis Pimpinan PR setahun lalu yang dihadiri oleh tiga-tiga pemimpin PR adalah untuk bersama Abdul Khalid memberi pandangan dan nasihat mengenai perjanjian air.
"Jawatankuasa itu diwakili ketiga-tiga parti iaitu Dr Dzulkefly Ahmad (Pas), Tony Pua (DAP) dan Rafizi Ramli (PKR), namun belum ada satu mesyuarat pun semasa menteri besar lepas," katanya lagi.- SH