SHAH ALAM – Salah seorang Adun Pas, Saari Sungib (Hulu Kelang) yang menyatakan sokongannya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu mengesahkan akan memberi penjelasan kepada partinya terhadap keputusannya itu.
Menurutnya, tindakan menghadiri sidang media PKR itu sebagai bukti bahawa PR masih memiliki sokongan majoriti di Selangor.
“Saya akan beri penjelasan (kepada Pas). Sokongan saya tengah hari tadi (semalam) adalah bertujuan agar 30 Adun yang tampil pada sidang media tadi (semalam) adalah bukti PR memiliki sokongan majoriti,” katanya kepada Sinar Harian Online, semalam.
Beliau memberi maklum balas kepada pihak Sinar Harian Online melalui aplikasi Whatsapp ketika ditanya pandangannya terhadap tuntutan agar beliau memberi penjelasan kepada parti atas pendiriannya itu.
Namun, beliau masih belum menerima sebarang notis dipanggil Pas pusat untuk memberi penjelasan.
“(Pas Pusat sudah hubungi?) Belum ada notis lagi,” katanya.
Seorang lagi Adun Pas yang turut menyokong tindakan tersebut adalah Adun Morib, Hasnul Baharuddin.
Semalam, pada sidang media di Subang Jaya, seramai 30 Adun Selangor menyatakan sokongan penuh terhadap Wan Azizah sebagai calon menteri besar.
Menurut Wan Azizah majoriti Adun yang terdiri dari PKR, DAP dan Pas menyatakan sokongan mereka terhadapnya kerana telah hilang keyakinan terhadap pentadbiran yang dikemudi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dalam perkembangan berkaitan, semalam Pas Pusat memutuskan untuk melakukan siasatan terlebih dahulu ke atas tindakan dua Adunnya yang menyatakan sokongan kepada Wan Azizah.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, tindakan terhadap dua Adun tersebut hanya akan diputuskan setelah siasatan dijalankan.
Sementara, Pas Selangor memberi tempoh 24 jam kepada dua Adun tersebut untuk menarik balik sokongan yang dizahirkan kepada Wan Azizah itu.
Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman berkata, Pas Selangor memandang serius tindakan Saari dan Hasnul kerana mengambil pendirian dan sikap bersendiri tanpa menurut tatacara serta arahan yang ditetapkan parti.