KUALA LUMPUR: Penarikan balik sokongan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak kerana prestasi Perdana Menteri itu dilihat lebih buruk berbanding Tun Abdullah Badawi adalah perkara yang sangat serius.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, dakwaan Mahathir itu sangat serius dan perlu dilihat oleh rakyat bukannya hanya dalaman Umno sahaja.
"Apabila prestasi Najib lebih buruk daripada Pak Lah yang pernah diakui prestasi Pak Lah sangat lemah pada suatu ketika dahulu sehingga berlaku proses peralihan yang sangat menyedihkan kerana tekanan.
"Malah kenyataan TPM Muhyiddin yang juga dianggap tikam Pak Lah daripada belakang kerana Pak Lah memperlihatkan prestasi sangat lemah bukan sahaja dalam pilihan raya umum tetapi kemampuan urus tadbir negara juga sangat lemah.
"Ianya sesatu yang sangat besar perlu jadi perhatian dalam negara kita kerana hala tuju masa depan negara sangat buruk," katanya kepada Harakahdaily.
Mahfuz juga percaya dakwaan Tun Mahathir yang pernah didakwa oleh PAS dan Pakatan Rakyat sebelum ini bahawa Najib lebih banyak menonjolkan imej peribadi berbanding dengan pencapaian dan prestasi negara.
Tegas Mahfuz, Najib lebih melakukan perkara 'boombastik' untuk dilihat bahawa beliau merupakan seorang yang hebat tetapi bukan untuk negara.
"Misalnya dalam kes MAS sekarang ini yang hanya tinggal saham bernilai 27 sen lebih murah daripada sekeping belacan, masalah campur tangan menteri dalam Bank Rakyat, masalah kenaikan harga barang yang menyusahkan kehidupan rakyat hari ini, nampaknya Najib tidak berjaya menyelesaikan. Apa yang dikatakan transformasi najib hanya mempamerkan kegagalan sahaja," katanya.
Mengulas lanjut, katanya, Umno harus ada keberanian seperti apa yang ditunjukkan oleh Mahathir dengan mengkritik secara terbuka apa yang tidak betul di dalam Umno.
"Dunia pemimpin serba tahu sudah tidak belaku lagi tetapi pemimpin mesti dengar daripada pelbagai pihak termasuk pembangkang. Keberanian mengkritik apa yang tidak betul perlu ada di kalangan Umno.
"Jangan membiarkan pemimpin merasai mereka sahaja yang serba tahu sehingga leka walhal ada perkara tidak betul yang dilakukan," katanya.
Mahathir semalam menulis dalam blognya yang menarik balik sokongan kepada Najib selepas melihat prestasinya lebih buruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.
Mahathir juga berkata Najib terlalu lembut dan sering berdiam diri dalam isu-isu penting negara.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta Mahathir supaya tidak memberi teguran secara terbuka berhubung masalah parti dan kepimpinan.
"Yang penting berbincang secara dalaman dan jangan expose. Ini masalah parti," kata Tengku Adnan. - HARAKAHDAILY