ARTIKEL SEBELUM

14/08/14

Mustahil sertai kerajaan campuran dengan Khalid, BN, kata pemimpin PAS

PAS tidak akan menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Umno di bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kata seorang pemimpin kanan, menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pusat pada Ahad ini.

Beliau juga menolak sebarang kemungkinan mesyuarat penting ini akan menyaksikan pemimpin PAS menyeru penubuhan kerajaan perpaduan, walaupun ahlinya mahu bersama menteri besar Selangor itu.

Bercakap dengan syarat tidak dinamakan, beliau berkata, walaupun mesyuarat itu memutuskan untuk bekerjasama dengan Umno, ia akan memerlukan proses panjang termasuk kelulusan Majlis Syura Ulama dan juga muktamar khas."Khalid tidak boleh membentuk kerajaan hanya dengan sokongan Umno tanpa sokongan PAS kerana bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mereka tidak cukup," katanya kepada The Malaysian Insider.

BN hanya mempunyai 12 Adun di Selangor, manakala PAS mempunyai 15, DAP 15, PKR 13 dan Khalid kini merupakan Adun Bebas.

Beliau menambah jika undian terpaksa dilakukan, kumpulan yang menyokong PAS terus bersama Pakatan Rakyat (PR) lebih besar daripada yang mahukan untuk bersama Khalid dan BN.

Beliau meramalkan 22 akan bersama PR manakala 14 lagi AJK PAS Pusat akan menyokong untuk bekerjasama dengan Khalid dan BN.

Pemimpin itu berkata, PAS akan berdepan dengan dilema moral jika mesyuarat Ahad ini bersetuju meninggalkan PR dan mahu bekerjasama dengan Umno.

Beliau berkata, ini kerana jumlah Adun Umno dan PAS serta Khalid tidak mencukupi untuk mendapat majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan gabungan itu perlu “membeli” sekurang-kurang seorang Adun daripadaPKR atau DAP.

"Untuk berbuat demikian ia sangat sukar kerana ia bertentangan dengan pegangan moral PAS sebagaimana yang berlaku di Terengganu dan Perak sebelum ini," katanya.

Pemimpin itu merujuk kepada krisis Terengganu baru-baru ini yang menyaksikan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan dua penyokongnya bertindak keluar daripada Umno.

PAS Terengganu memutuskan untuk tidak akan memujuk ketiga-tiga Adun itu menyertai mereka walaupun tindakan itu boleh menyebabkan kerajaan negeri jatuh kepada PR.

Keenganan PAS bekerjasama dengan tiga Adun bebas itu menyebabkan ketiga-tiga mereka kembali menyertai Umno.

"Jika keputusan itu hendak diambil juga, jalan penyelesaian yang perlu diambil oleh PAS adalah kena ambil mandat baru daripada rakyat dengan mengadakan pilihan raya semula di Selangor dan bukan 'meliwat' Umno begitu saja," katanya.

Berdasarkan beberapa senario itu, beliau yakin Adun PAS Selangor tidak akan menyertai Khalid untuk membentuk kerajaan campuran dengan BN.

"Beliau bolehlah terbang tinggi untuk sehari dua ini namun selepas ini beliau akan turun juga," katanya merujuk kepada pelbagai tindakan yang diambil Khalid sehari dua ini.

Antaranya memecat lima exco daripada PKR dan DAP di samping mengarahkan mereka mengosongkan pejabat masing-masing dalam tempoh dua minggu.

AJK PAS Pusat akan bermesyuarat 17 Ogos ini bagi membincangkan kedudukan cadangan PKR untuk menggantikan Khalid dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hari ini, Lajnah Politik PAS akan bersidang bagi membincangkan bacaan politik masing-masing untuk dibuat penilaian dan akan dibentangkan dalam mesyuarat pada Ahad.

Sebelum ini, Majlis Syura Ulama membuat keputusan menyokong Khalid untuk kekal sebagai menteri besar dan pada ketika itu, Khalid masih ahli PKR.

PKR memecat Khalid pada Sabtu kerana engkar kepada arahan parti untuk meletakkan jawatan dan memberikan laluan kepada Dr Wan Azizah.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud