ARTIKEL SEBELUM

23/08/14

Kajian: kemelut MB Selangor, Pakatan masih dapat sokongan

Lebih separuh pengundi di Selangor akan mengekalkan kerajaan Pakatan Rakyat sekiranya pilihan raya negeri diadakan sekarang bagi menyelesaikan kemelut sekitar pelantikan menteri besar baru, menurut kajian yang dilakukan Merdeka Center.Kaji selidik yang ditauliahkan The Malaysian Insider dan dijalankan ketika krisis memuncak pada awal bulan ini, juga menunjukkan 25% akan menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar.

Pencalonannya membangkitkan pertelingkahan apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan berundur diri, mendakwa masih mendapat sokongan majoriti daripada 56 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor. Bagaimanapun, tiga parti dalam gabungan Pakatan itu menarik balik sokongan mereka terhadap Khalid dan menteri besar dua penggal itu kemudiannya menunggu untuk bertemu Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat mengenai kedudukannya.

Seramai 808 pengundi berdaftar mengambil bahagian dalam kajian itu yang dijalankan di antara 11 dan 17 Ogos oleh Merdeka Center.

Kaji selidik yang dijalankan itu kebetulan diadakan semasa Khalid memecat lima exco dari PKR dan DAP pada 12 Ogos dan mengekalkan empat exco lagi dari PAS.

Konflik dalaman PKR hanya diselesaikan pada malam 17 Ogos, menyaksikan Majlis Pimpinan PR bersetuju menggantikan Khalid dengan Dr Wan Azizah.

Walaupun dengan kemelut demikian, 57% pengundi yang mengambil bahagian dalam kaji selidik berkata mereka sedia memberi peluang sekali lagi kepada PR untuk mentadbir kerajaan negeri sekiranya Sultan perkenan membubarkan DUN.

Manakala, 29% lagi berkata mereka tidak akan memberi peluang kepada PR dan 15% lagi berkecuali, menurut kajian yang dijalankan menerusi panggilan telefon itu.

Bagaimanapun, hanya 43% dari mereka berasa yakin jika PR mentadbir negeri manakala 29% pula yakin dengan BN dan 13% lagi berkecuali.

“Pada pendapat kami, walaupun perkembangan di Selangor menjejaskan perasaan pengundi Selangor terhadap PR, kajian mendapati sentimen menentang BN masih kuat di kalangan mereka,” kata Merdeka Center dalam satu kenyataan.

“Ini bermakna BN masih akan menghadapi cabaran besar walaupun PR dikatakan tidak diyakini oleh pengundi Selangor dan prestasinya mungkin merosot jika satu pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

Menurut kajian itu, 46% pengundi berasa kehidupan mereka lebih baik sekarang dibandingkan zaman pemerintahan BN, sementara 36% lagi mengatakan tiada perubahan dan hanya 15% berkata semakin buruk.

Bagaimanapun, krisis MB memberi kesan kepada tanggapan rakyat apabila hanya 46% responden mendakwa Selangor berada di landasan betul berbanding 64% pada Mac 2014.

Kebimbangan utama di kalangan pengundi ialah bekalan air (21%) diikuti isu menteri besar (20%) dan ketidakstabilan politik secara umum (6%).

Pengundi dipilih melalui sampel rawak berlapis mengikut etnik, jantina, umur dan daerah mengundi.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud