Umat Islam digesa memboikot barangan Israel secara profesional dan tidak beremosi hingga melanggar peraturan negara.
Mufti Kelantan, Datuk Mohd Shukri Mohamad bersetuju barangan Israel diboikot, namun dalam usaha boikot tersebut, jangan pula melakukan kesalahan undang-undang.
“Kita perlu boikot untuk menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Gaza. Jangan pula kata boikot barang Israel tetapi di tangan mereka ada rokok kerana rokok menyumbang kepada Israel.
“Langkah yang kita mahu ambil biarlah bijaksana, jangan mencerminkan kita emosional, tidak rasional, sebaliknya perlu profesional dan biar usaha boikot kita itu mencapai matlamat,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai beberapa kejadian papan tanda sebuah restoran makanan segera disembur cat dengan tulisan ‘Boikot Israel’ di sekitar kawasan Pengkalan Chepa, di sini.
Mohd Shukri berkata, cara tersebut melanggar peraturan hingga menyebabkan tindakan vandalisme yang boleh mengganggu pemandangan awam.
Beliau berkata, sikap umat yang 'paling mahal' untuk menunjukkan sokongan terhadap Gaza ialah dengan bersatu-padu dan tidak berpecah-belah sesama sendiri.
“Apabila kita berpecah, hilang wibawa dan menyebabkan orang tidak menghormati kita, jadi perkara itu perlu dielakkan.
“Dalam hal ini, umat Islam diingatkan bersatu padu, setiap mereka perlu mengetepikan kepentingan peribadi dan semangat berpuak-puak,” katanya.- sh