ARTIKEL SEBELUM

18/08/14

Ada hikmah di sebalik keputusan PAS Pusat -

 

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi percaya ada hikmah di sebalik keputusan mesyuarat PAS Pusat semalam, lapor Selangor Kini.

Hal ini berikutan, lazimnya ahli mesyuarat PAS dibenarkan memberikan pelbagai pandangan dari semua sudut sebelum apa-apa keputusan diambil.

“Ada hikmah di sebalik keputusan ini. Saya fikir ini yang terbaik.

“Biasanya dalam mesyuarat PAS kita menerima apa-apa pandangan dari ahli tidak semestinya majoriti itu jadi keputusan.

“Biasanya kita beristiqfar dan membuat keputusan yang terbaik dan dapat diterima semua pihak,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan penutupan Kejohanan Perahu Layar Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) – KFC Open Regatta 2014 semalam.

Tambahnya, ini dapat dilihat apabila Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

“Datuk Menteri Besar sendiri dah keluarkan kenyataan akhbar dia dapat menerima keputusan ini dengan baik dan dia akan mengadap Tuanku apakah langkah seterusnya selepas ini,” kata beliau lagi.

Ahmad Yunus berkata, mesyuarat yang dilangsungkan semalam itu juga memutuskan beliau dan tiga lagi Exco Kerajaan Selangor daripada PAS meneruskan tugas seperti biasa sehingga terdapat arahan baru sama ada dari pihak istana, kerajaan negeri atau pimpinan PAS pusat.

Semalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat memutuskan mencalonkan dua nama iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Mohammed Azmin Ali bagi menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor. - HD

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud