ARTIKEL SEBELUM

24/07/14

Sultan berhak tolak bubar DUN, kata pensyarah undang-undang

 Kemelut krisis kepimpinan dalam PKR di Selangor mencetuskan polemik yang belum berakhir sejak Langkah Kajang dilancarkan. (Dari kiri) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Anwar Ibrahim dan Azmin Ali. Gambar fail The Malaysian Insider.

Sultan tidak terikat untuk menuruti permintaan menteri besar untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya menteri besar enggan berundur meskipun tewas usul undi tidak percaya yang dibuat terhadapnya, kata pensyarah undang-undang Universiti Malaya Profesor Gurdial Singh Nijar.

Beliau berkata, sultan sebaliknya perlu menilai sama ada usul undi tidak percaya yang dilakukan terhadap menteri besar bakal mencetuskan situasi yang mencadangkan urusan DUN tidak boleh dilakukan melainkan dengan pilihan raya menggantikan menteri besar dan pelantikan exco.

"Sekiranya ini boleh dilaksanakan, sultan berhak untuk tidak membubarkan DUN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor kini berdepan krisis untuk menggantikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail bagi meneruskan rancangan "Langkah Kajang" yang dipelopori PKR.

Khalid bagaimanapun dilihat seakan tidak bersetuju dengan tindakan pucuk pimpinan partinya itu, sebaliknya berkata beliau akan kekal sehingga habis penggal sesi ini.

"Sekiranya menteri besar menerima undi tidak percaya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun beliau perlu meletak jawatan bersekali dengan barisan exconya, jika ia diluluskan," katanya.

Bgaimanapun, katanya, menteri besar juga berhak meminta sultan membubarkan DUN.

"Sekiranya sultan bersetuju, pilihan raya negeri akan dilaksanakan," katanya dan menambah, sultan tidak terikat dengan keputusan itu.

Beliau berkata, apabila parti pemerintah yang disokong majoriti anggotanya mempunyai pengganti menteri besar sedia ada, dan dipersetujui ahli Dewan, Adun dan menteri besar baharu boleh mentadbir negeri tanpa sebarang masalah.

"Jika ini berlaku, pilihan untuk membubarkan DUN tidak timbul," katanya.

Gurdial berkata, perkara itu tidak dinyatakan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, sebaliknya terkandung dalam satu konvensyen.

"Dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan model 'Westminster' (yang diguna pakai undang-undang tubuh), kita mengikut amalan dan penggunaan Perlembagaan.

"Ini dipanggil konvensyen, dan perlu dipatuhi. Konvensyen menguatkuasakan bagaimana kerajaan perlu ddiuruskan, dan dalam kes ini, bagaimana kuasa budi bicara digunakan.

"Meskipun konvensyen tidak dikuatkuasakan mahkamah, kewujudan dan kandungannya boleh membentuk sebahagian alasan hakim dalam membuat keputusan, seperti disahkan pihak berkuasa undang-undang Perlembagaan,” katanya.

Khalid dalam kenyatannya semalam berkata, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan hasrat kepadanya untuk terus melihat Selangor ditadbir dengan amanah, teguh dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, titah Sultan itu merupakan sebahagian reaksi baginda terhadap isu politik dalaman yang berlaku di Selangor.

Khalid, yang juga Adun Pelabuhan Klang bagaimanapun menafikan wujud perbincangan antara beliau dan sultan berhubung jawatan menteri besar Selangor.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu bagaimanapun mengakui menyampaikan hasrat untuk terus mentadbir Selangor.

"Sultan memandang perkara ini paling penting. Bagi tuanku ialah pentadbiran amanah, teguh dan bertanggungjawab.

"Namun tidak ada perbincangan yang dibuat bersama Sultan, tetapi saya berkata kepada Sultan akan terus bekerja sehingga saya tidak lagi menjadi menteri besar," katanya.

Susulan pengumuman PKR mencalonkan Wan Azizah sebagai menteri besar baharu, semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Pakatan Rakyat (PR) sudah dimaklumkan secara rasmi mengenainya dan mereka menerima hakikat ia adalah hak PKR.

Namun, keputusan muktamad akan dibincangkan dalam parti masing-masing.

Anwar juga akan meletakkan jawatan sebagai penasihat ekonomi Selangor selepas isterinya dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Selain itu, Anwar juga berkata, pihaknya juga sedang berbincang dengan Khalid untuk beliau berundur secara baik.

Gurdial berkata, menteri besar boleh "dibuktikan" tidak lagi diyakini untuk mentadbir negeri melalui beberapa kaedah, antaranya ialah pengundian.

"Alternatifnya, hilang keyakinan terhadap menteri besar boleh disampaikan kepada sultan melalui surat, percakapan mulut, atau kedua-duanya.

"Apa yang penting, sultan perlu berpuas hati majoriti tidak lagi menyokong menteri besar," katanya.

Sekiranya menteri besar itu enggan melepaskan jawatannya dan enggan mengemukakan surat peletakan jawatan meskipun selepas gagal undi tidak percaya, ia bakal memberikan pengecualian kebarangkalian.

"Sultan akan mengisytiharkan menteri besar tidak lagi berkuasa dan kerusinya akan dikosongkan.

"Selepas itu, sultan berkuasa untuk meneruskan pelantikan menteri besar baharu daripada kalangan Adun yang dirasakannya menerima persetujuan majoriti Adun," katanya.

Katanya, Sultan juga tidak mempunyai pilihan lain selain melantik nama yang dikemukakan parti yang mendapat sokongan majoriti.

"Jika parti dominan menyerahkan nama calon, sultan tiada pilihan selain melantik individu itu," katanya. – TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud